Kerajaan sekat laman web didakwa bocor data peribadi

Kerajaan sekat laman web didakwa bocor data peribadi

Arahan sekatan terhadap laman web itu juga dikeluarkan kepada pembekal perkhidmatan internet (ISP) bagi menghalang urusan jual beli data di laman web tersebut.

Sebelum ini seorang pengguna Twitter mendakwa terdapat alat Open Source Intelligence (OSINT) yang boleh mengakses data peribadi rakyat Malaysia hanya melalui nama, nombor kad pengenalan dan tarikh lahir mereka. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) mengarahkan laman laman web sumber terbuka, yang didakwa boleh mengakses data peribadi rakyat Malaysia disekat serta-merta.

Menterinya, Annuar Musa berkata tindakan menurunkan laman web tersebut telah dilakukan jam 6.30 petang Ahad lalu.

“Kementerian mengambil serius berhubung keresahan dan kebimbangan orang ramai mengenai isu penjualan data oleh sebuah laman web sumber terbuka (open-source intelligence) yang mula didedahkan di laman Twitter pada pagi Ahad, 12 Jun 2022.

“Semakan dan siasatan segera telah dilakukan oleh kementerian melalui Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan CyberSecurity Malaysia (CSM) mengenai kandungan dan latar belakang laman web yang berkaitan, pada hari yang sama.

“Arahan sekatan terhadap laman web tersebut juga telah dikeluarkan kepada pembekal perkhidmatan internet (ISP) bagi menghalang urusan jual beli data di laman web tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Annuar berkata, siasatan lanjut juga sedang dijalankan secara bersepadu oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa), JPDP, CSM, SKMM, polis dan Bank Negara (BNM).

Katanya, K-KOMM melalui JPDP dengan kerjasama SKMM dan CSM akan terus memantau dan mengawal selia pemprosesan data peribadi dalam transaksi komersial agar sentiasa menepati prinsip bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

Beliau berkata, keselamatan data peribadi milik kerajaan persekutuan dan negeri pula akan sentiasa dipastikan keselamatannya oleh agensi kerajaan yang berkaitan dan NACSA.

“Kerajaan persekutuan dan negeri juga dinasihatkan untuk mengaplikasikan tujuh Prinsip Perlindungan Data Peribadi di bawah Akta 709 sebagai garis panduan atau amalan terbaik supaya keselamatan data peribadi rakyat sentiasa terjaga,” katanya.

Beliau turut meminta semua pihak untuk memberi kerjasama dalam usaha membendung kes kebocoran, penyalahgunaan atau penjualan data peribadi.

Sebelum ini pengguna akaun Twitter dikenali sebagai ‘@Rad1112’ mendakwa terdapat alat Open Source Intelligence (OSINT) yang boleh mengakses data peribadi rakyat Malaysia hanya melalui nama, nombor kad pengenalan dan tarikh lahir mereka.

Menerusi ciapannya pada Ahad, pengguna Twittwer itu berkata, alat yang kini boleh didapati dalam ‘clearnet’ atau rangkaian internet terbuka itu boleh mengesahkan data peribadi individu termasuk maklumat sama ada dia bekerja dengan polis atau tentera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.