
Ini kerana, kata Ketua Ahli Ekonomi, Makroekonomi, Perdagangan dan Pelaburan Bank Dunia, Apurva Sanghi, analisis awal mendapati GST menyumbang hampir dua kali ganda pendapatan cukai kepada kerajaan berbanding SST.
“Kami melihat GST lebih baik berbanding SST dengan lebih 170 negara di seluruh dunia telah melaksanakan rejim cukai tambah nilai (VAT) seperti GST.
“Ada sebab mengapa GST lebih baik daripada SST, antaranya adalah ia cukai ke atas penggunaan kerana 60% ekonomi bergantung kepada penggunaan.
“Pelaksanaan cukai lebih meluas akan mengelakkan ketirisan atau pengelakan cukai yang akan meningkatkan hasil kerajaan,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Tetapi, Apurva berkata, seperti cukai lain, GST juga mempunyai kelemahan kerana ia hanya cukai ke atas penggunaan dan bersifat regresif yang memberi kesan lebih besar kepada golongan berpendapatan rendah berbanding golongan kaya.
Katanya, banyak negara menggunakan langkah pengecualian cukai untuk menangani sifat regresif GST, namun ia mungkin tidak selalunya menjadi pilihan terbaik kerana memutuskan rantaian cukai nilai tambah berkenaan.
Beliau berkata, banyak yang perlu dipelajari daripada pelaksanaan GST pada 2015, termasuk melancarkan proses tuntutan balik supaya lebih cekap.
“Kerajaan perlu meningkatkan perbelanjaan bersasar bagi mereka yang terjejas dengan GST, selain meningkatkan kos pematuhan bagi perniagaan, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Untuk PKS khususnya perniagaan mikro, mereka memerlukan tempoh peralihan yang cukup atau memberi pengecualian kepada mereka sebagai permulaan.
“Sebab inilah, kami percaya dari aspek ekonomi yang tulen, GST lebih baik daripada SST, selain isu lain yang dibangkitkan menyaksikan GST meningkatkan kadar inflasi,” katanya.
Malaysia memperkenalkan GST buat julung kali pada 1 April 2015 pada kadar 6%, sebelum digantung pada 1 Jun 2018 dan dimansuhkan serta digantikan dengan SST bermula 1 Sept 2018.