Hampir semua tuntutan bayaran balik GST selesai, kata menteri

Hampir semua tuntutan bayaran balik GST selesai, kata menteri

Ketika GST dimansuhkan pada 2018, jumlah tuntutan bayaran balik tertunggak mencecah RM19 bilion.

Amir Hamzah Azizan
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata kira-kira RM30 juta tuntutan bayaran balik GST tertunggak belum diselesaikan atas sebab-sebab tertentu.
KUALA LUMPUR:
Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan mengesahkan hampir semua tuntutan bayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST) tertunggak sejak pemansuhannya pada 2018 selesai.

Menurutnya, ketika GST dimansuhkan, jumlah tuntutan bayaran balik tertunggak mencecah RM19 bilion.

“Kesemua tuntutan telah dibayar balik, kecuali sekitar RM30 juta yang tidak selesai atas sebab-sebab tertentu.

“Ini termasuk tuntutan masih dibicara di mahkamah ataupun maklumat bayaran balik seperti akaun bank syarikat tidak lengkap. Jadi, isu GST ini saya kira sudah selesai,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.

Tegasnya, kerajaan komited memastikan hak pembayar cukai dipenuhi dan tidak berkompromi dalam soal ketelusan pengurusan kewangan awam.

Dalam perkembangan lain, Amir Hamzah berkata, bayaran balik lebihan cukai bagi 2025 berjumlah RM22.45 bilion, yang tertinggi dalam tempoh lima tahun.

Beliau berkata, jumlah itu sebahagian daripada RM56 bilion bayaran balik lebihan cukai yang dilunaskan kerajaan sepanjang tiga tahun terakhir, meningkat 50% berbanding RM37 bilion bagi tempoh 2020 hingga 2022.

Jelasnya, sebahagian daripada bayaran balik itu sebanyak RM7.5 bilion diselesaikan Disember lalu, melebihi komitmen awal RM4 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada 6 Dis lalu.

Katanya, kerajaan memberi jaminan bayaran balik lebihan cukai bagi tahun taksiran 2023 dijangka selesai lebih awal daripada sasaran, iaitu menjelang Februari 2026, manakala tahun taksiran 2024 akan diselesaikan sepenuhnya sebelum hujung tahun ini.

Menurutnya, bayaran pampasan 2% setahun bagi sebarang kelewatan bayaran balik cukai seperti termaktub bawah Akta Cukai Pendapatan sedang dilaksanakan, dengan jumlah pampasan RM23.6 juta telah dibayar bagi sebahagian kes pada 2025.

“Sebagai kerajaan yang amanah, komitmen bayaran pampasan akan dipenuhi dan perkara ini tidak dikompromi.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.