3 rakan maut, tak sempat sambut hari lahir

3 rakan maut, tak sempat sambut hari lahir

Mangsa korban dikenali sebagai S Srinivasa Rao, 19, M Phooveandra, 26, dan K C Thinakaran, 19.

Keadaan lori tangki dan kereta yang dinaiki lima rakan selepas kemalangan malam tadi. (Gambar PDRM/Bernama)
PETALING JAYA:
Hasrat lima sekawan meraikan ulang tahun kelahiran bertukar tragedi, apabila tiga daripadanya maut dan dua lagi parah, selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori tangki di Kilometer 7 Jalan Maharajalela-Teluk Intan malam tadi.

S Srinivasa Rao, 19, maut di tempat kejadian, manakala M Phooveandra, 26, dan KC Thinakaran, 19, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Teluk Intan. Dua lagi rakan mereka cedera parah dalam kejadian sekitar 9.30 malam Ahad itu.

Menurut Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Ahmad Adnan Basri, semua mangsa dalam perjalanan dari arah Hutan Melintang menuju Teluk Intan bagi menyambut ulang tahun kelahiran Thinakaran.

Bagaimanapun, katanya, kereta dinaiki lima pemuda itu hilang kawalan dan terbabas memasuki laluan bertentangan.

“Keadaan itu mengakibatkan lori tangki yang dipandu lelaki berusia 48 tahun itu tidak sempat mengelak dan berlanggar,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Akibat pelanggaran itu, katanya, tiga penumpang kereta berusia 19 tahun dan 26 tahun itu meninggal dunia, manakala pemandu kereta berusia 26 tahun dan seorang lagi penumpang kereta berusia 19 tahun parah.

Katanya, pemandu lori itu tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.