JKM ada asas kukuh terus sita Rumah Bonda, kata Rina

JKM ada asas kukuh terus sita Rumah Bonda, kata Rina

Menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat menjelaskan Rumah Bonda tidak berdaftar dengan JKM, KKM serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Rina Harun berkata proses sitaan Rumah Bonda di Setapak, Kuala Lumpur dilakukan sejak tahun lalu kerana tidak berdaftar serta telah diberikan notis peringatan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mempunyai asas kukuh untuk terus menyita dan menghentikan operasi Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda Kuala Lumpur atau dikenali sebagai Rumah Bonda kerana tidak berdaftar dengan jabatan itu sejak ia mula beroperasi.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun, berkata pihaknya tidak mempunyai masalah dengan tindakan saman dikemukakan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali.

Katanya, Rumah Bonda juga tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Kita sudah sita Rumah Bonda sejak tahun lalu kerana ia tidak berdaftar, peringatan kita sudah buat, jadi tidak mengapa kita akan ikut proses ini (tindakan mahkamah) kerana itu hak dia.

“Tetapi JKM sudah pasti ada asas untuk meneruskan proses sitaan, bila kita sita bermakna kita beri dia peluang untuk kemukakan pendaftaran dan sebagainya.

“Rumah berkenaan tidak berdaftar dengan tiga agensi teknikal ini antaranya JKM, Jabatan Kesihatan dan bomba, sebab itu kita buat Notis Lak (Penutupan), sebaliknya dia buat permohonan mahkamah untuk batalkan Notis Lak berkenaan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Jelas Rina, tindakan itu dibuat bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan penghuni terjamin.

“Pendaftaran rumah kebajikan termasuk Rumah Bonda perlu mematuhi syarat dan terma yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Semalam, media melaporkan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun memfailkan saman terhadap JKM Kuala Lumpur dan memohon agar rumah perlindungannya yang terletak di Setapak dibuka semula.

Rumah Bonda melalui Siti Bainun selaku plaintif memfailkan saman pemula itu di Mahkamah Majistret di sini melalui firma guaman, Tetuan Asiah Abd Jalil Chambers pada 7 Jun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.