BN tak hanya utamakan pemimpin bahagian jadi calon PRU15, kata Zahid

BN tak hanya utamakan pemimpin bahagian jadi calon PRU15, kata Zahid

Pengerusi BN itu berkata, formula mengetengahkan muka baharu dan anak muda sebagai calon berkemungkinan besar digunakan dalam PRU15.

Ahmad Zahid Hamidi berkata, keutamaan memilih calon PRU15 bukan hanya daripada kalangan pemimpin bahagian.
KUALA LUMPUR:
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan tidak hanya memberi keutamaan kepada pemimpin bahagian untuk menjadi calon pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“(Calon) PRU15, insya Allah mungkin yang ada di atas pentas ini (merujuk Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan dan Naib Presiden MCA, Ti Lian Ker).

“…dan saya tidak akan meraikan hanya pemegang jawatan di bahagian saja jadi calon,” katanya ketika berucap merasmikan Wacana Aspirasi Orang Muda di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Zahid berkata, sekarang ialah masa sesuai untuk mengadakan PRU15 kerana sokongan anak muda dilihat telah kembali kepada BN, berdasarkan keputusan dalam beberapa pilihan raya negeri (PRN) lalu.

Oleh itu, katanya, formula mengetengahkan muka baharu dan anak muda sebagai calon berkemungkinan besar digunakan dalam PRU15.

“Dalam PRN lepas, undi anak muda lari memilih calon BN. PRN Melaka kita ketengahkan 87% calon baharu, di Johor 70%.

“Oleh kerana anak muda telah kembali kepada kita (BN), carilah masa sesuai (untuk mengadakan PRU),” katanya.

Khemah BN

Zahid berkata, BN terbuka menjalin kerjasama dengan mana-mana parti buat masa ini atau selepas PRU15.

Ini kerana, katanya, perlembagaan BN terdiri daripada tiga kategori yang merangkumi parti teras, parti gabungan atau “friends of BN” dan kerjasama secara “direct membership”.

“Saya tidak mengkategorikan sama ada khemah itu besar, kecil atau sederhana.

“Yang penting, khemah BN sedia untuk bekerjasama dengan siapa saja sama ada secara kesefahaman pada masa sekarang atau ‘post election’ selepas PRU15.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.