
Ahli MPP Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, pihaknya mempunyai kuasa mutlak untuk membuat keputusan berhubung perkara itu.
“MPP akan bersidang pada 12 Jun ini dan akan rungkai segala bentuk masalah yang tercetus ketika pemilihan.
“Perkara ini kuasa mutlak MPP, walaupun saya ahlinya dan peserta dalam pemilihan itu, tapi tidak membolehkan saya mengeluarkan ‘fatwa’ yang berbeza dengan perlembagaan,” katanya kepada FMT.
Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan calon ketua bahagian Gombak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak bahawa kongres PKR hujung bulan ini ditangguhkan sekiranya JPP gagal menyelesaikan isu undian termasuk di bahagian Gombak pada pemilihan PKR baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Abdullah berkata MPP, akan bermusyawarah dua minggu sebelum kongres berlangsung dengan mengambil kira laporan dan audit daripada JPP.
“Ini parti bermusyawarah untuk ambil satu keputusan, ia tak boleh pergi kepada individu, dalam parti ini tetap dengan prinsip, kita akan bawa dalam MPP untuk dibincangkan,” katanya yang turut menyifatkan pandangan Farhash sebagai pendapat individu.
Kongres PKR akan berlangsung pada 24 sehingga 26 Jun di IDeal Convention Center (IDCC) Shah Alam.