Bon Odori, festival penyatuan semula rakan dan keluarga

Bon Odori, festival penyatuan semula rakan dan keluarga

Tidak lagi mempunyai makna keagamaan, festival itu telah berkembang menjadi acara kebudayaan musim panas yang ditunggu-tunggu, kata pakar.

Sebuah kumpulan tarian orang Melayu membuat persembahan di padang Esplanade di George Town, Pulau Pinang, pada Festival Bon Odori 2017. (Gambar JohnShen Lee)
GEORGE TOWN:
Festival Bon Odori, yang akan disambut di Malaysia bulan depan, telah berkembang di Jepun sejak 500 tahun lalu daripada sebuah upacara keagamaan untuk menjadi sebuah acara bagi menyatukan semula keluarga dan rakan.

Karya sastera menjejakinya kepada kisah seorang budak lelaki yang kehilangan ibunya kepada hantu kelaparan. Apabila budak lelaki itu yang merupakan seorang pengikut Buddha bertanyakan kepada Buddha cara untuk membebaskan ibunya, dia diberitahu supaya memberi persembahan kepada sami pada hari ke-15 dalam bulan ketujuh.

Perkara ini dituruti budak lelaki itu dan ibunya dibebaskan dan dia kemudiannya menari untuk menyambut kepulangan ibunya.

Kisah ini mempunyai kaitan dengan Sutra Ullambana Buddha yang juga menyokong Festival Hantu Lapar Cina.

Pakar budaya Jepun Masatoshi Soeda berkata, bagi orang Jepun, ia disambut untuk meraikan kepulangan nenek moyang mereka dari syurga.

Soeda adalah pengarah Pusat Kebudayaan Jepun di Universiti Sains Malaysia-Universiti Pengajian Asing Kyoto.

Beliau berkata, Bon Odori telah membuang makna keagamaannya walaupun ia berakar umbi dalam agama Buddha.

“Untuk meraikan kepulangan nenek moyang, kami menari bersama-sama untuk menyambut mereka,” katanya kepada FMT.

Datuk Bandar Pulau Pinang Maimunah Sharif (dua dari kiri) mengambil bahagian dalam tarian yosakoi pada 2017.

“Dalam masyarakat Jepun kontemporari, ia berkembang menjadi festival kebudayaan yang diadakan pada musim panas. Terdapat tarian rakyat tradisional dan yosakoi (sebuah tarian rancak).

“Ia turut disambut dengan cara yang sama di Malaysia. Orang ramai datang dengan memakai yukata (jubah musim panas) dan berseronok sambil menonton tarian yosakoi.

“Tiada apa-apa yang bersifat keagamaan tentang Bon Odori pada zaman ini. Ia adalah masa untuk bersatu semula dengan keluarga dan rakan-rakan.”

Soeda berkata, Bon Odori adalah masa terbaik untuk mencari rakan baharu dan menikmati makanan Jepun.

Seorang lagi pakar kebudayaan Jepun, Clement Liang daripada Universiti Ritsumeikan berkata, Bon Odori mempunyai akar dalam budaya Asia untuk mengingati mereka yang telah pergi melalui doa dan ritual lain.

Sebuah kumpulan gendang bermain alatan muzik sebelum persembahan tarian yosakoi di George Town.

Katanya, sambutan Bon Odori di sini mempunyai fungsi untuk memperbaiki hubungan antara Malaysia dan Jepun selepas pengalaman pahit Perang Dunia II.

“Kedua-dua negara menderita. Ramai orang Malaya dan Jepun terbunuh,” katanya.

“Bon Odori adalah peluang yang sangat baik untuk menyatukan (kedua-dua) negara kita. Kita biarkan perang berlalu dan tidak mahu perkara itu berulang pada masa akan datang. Kita belajar tentang budaya Jepun dan mereka belajar tentang budaya kita.

“Itulah hakikatnya. Jika tidak mahu ambil bahagian, boleh jadi penonton. Tidak perlu menari atau melakukan apa-apa.”

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad baru-baru ini menasihatkan umat Islam agar tidak mengambil bahagian dalam festival itu kerana ia mempunyai pengaruh daripada agama selain Islam.

Seorang wanita memakai yukata membuat persembahan di Festival Bon Odori 2017 di Pulau Pinang.

Liang berharap kenyataan menteri itu tidak akan menakutkan populasi pelabur Jepun yang besar di Malaysia.

Beliau berkata, acara itu penting kepada lebih 10,000 ekspatriat Jepun di Lembah Klang dan lebih 2,000 orang Jepun di Pulau Pinang.

Festival tahunan itu yang dianjurkan oleh masyarakat Jepun di Malaysia kembali diadakan semula selepas berehat selama dua tahun disebabkan wabak Covid-19. Ia akan diadakan di Shah Alam pada 16 Julai dan Pulau Pinang pada 30 Julai.

Salah satu penganjurnya, iaitu Kelab Jepun Kuala Lumpur, menyifatkan Bon Odori yang mula diadakan Malaysia pada 1977 sebagai “acara kecil-kecilan” oleh ekspatriat Jepun untuk membolehkan anak-anak mereka mendalami budaya Jepun.

Katanya, ia telah berkembang “menjadi acara tahunan yang ditunggu-tunggu dan disertai oleh kira-kira 35,000 orang setiap tahun”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.