Johor catat 5,234 kes HFMD setakat 4 Jun

Johor catat 5,234 kes HFMD setakat 4 Jun

Sebanyak 4,594 kes melibatkan kanak-kanak berumur sehingga enam tahun, manakala tujuh hingga 12 tahun adalah 564 kes dan selebihnya berumur lebih 13 tahun.

Sebanyak 25 kes aktif HFMD dilaporkan dengan Johor Bahru merupakan daerah tertinggi, iaitu dengan 11 wabak, diikuti Kluang (tujuh), Kota Tinggi (lima), manakala Muar dan Tangkak masing-masing satu. (Gambar Freepik)
JOHOR BAHRU:
Sebanyak 5,234 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) direkodkan di Johor setakat 4 Jun lepas, meningkat 50 kali ganda daripada 104 kes yang dicatat dalam tempoh sama, tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 4,594 kes melibatkan kanak-kanak berumur sehingga enam tahun, manakala tujuh hingga 12 tahun sebanyak 564 kes dan selebihnya merupakan mereka yang berumur lebih 13 tahun.

“Sebanyak 41 kes HFMD dikesan di taska, diikuti rumah persendirian (18), tabika (13), tadika (lapan), prasekolah (tujuh), sekolah rendah (tiga), pusat jagaan harian (dua) dan lain-lain (tiga),” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, sebanyak 25 wabak aktif HFMD dilaporkan dengan Johor Bahru merupakan daerah tertinggi iaitu 11 wabak, diikuti Kluang (tujuh), Kota Tinggi (lima), manakala Muar dan Tangkak masing-masing satu wabak.

Justeru Ling menyeru rakyat di Johor supaya sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan yang diperlukan bagi mencegah penyakit itu.

“Dalam masa cuti sekolah ini, ibu bapa silagunakan peluang ini bagi mendidik anak-anak anda supaya memberi lebih perhatian terhadap kebersihan kendiri dan persekitaran.

“Bagi pengusaha institusi pendidikan pula, mereka disarankan untuk membuat kerja-kerja sanitasi dan pembersihan di kawasan premis,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.