Malaysia ketuai pembangunan ujian klinikal ubat rawat denggi, kata KJ

Malaysia ketuai pembangunan ujian klinikal ubat rawat denggi, kata KJ

Ujian itu mengambil masa enam bulan ke setahun sebelum boleh didaftarkan sebagai penawar denggi sekiranya berkesan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, berkata usaha ini turut membabitkan kerjasama dengan badan bukan kerajaan serta beberapa negara seperti Brazil dan India, bagi melihat keberkesanan ubatan untuk merawat denggi.
MELAKA:
Malaysia akan mengetuai pembangunan ujian klinikal beberapa ubat-ubatan sedia ada yang digunakan bagi penyakit lain untuk merawat demam denggi di negara ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, ujian berkenaan akan dijalankan di negara ini menerusi Clinical Research Malaysia (CRM) yang dijangka mengambil masa enam bulan hingga setahun, sebelum ubat tersebut didaftarkan sebagai penawar denggi sekiranya ia berkesan merawat wabak itu.

“Usaha ini melibatkan kerjasama antara Malaysia dan badan bukan kerajaan (NGO) Drugs for Neglected Diseases initiative (DNDi) serta dengan beberapa negara lain seperti Brazil dan India untuk melihat keberkesanan ubat-ubatan sedia ada untuk merawat denggi.

“Kita telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di bawah CRM untuk melaksanakan ujian klinikal itu dan ia dijangka bermula dalam beberapa bulan lagi,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat Peringkat Negeri Melaka, Sambutan Hari Denggi Asean dan Gotong-Royong Mega 1.0 Perangi Aedes Peringkat Kebangsaan yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali.

Khairy berkata, pencarian penawar denggi menerusi ubat-ubatan sedia ada merupakan satu daripada inisiatif kerajaan untuk melawan denggi dan penggunaan ubat berkenaan akan diberikan kepada pesakit demam denggi agar mereka dapat sembuh daripada wabak itu tanpa berdepan komplikasi yang menyakitkan atau serius.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.