
Katanya, berdasarkan aduan diterima, ada kewajaran audit forensik dijalankan dan cadangan itu sedang diteliti pihaknya.
Beliau berkata, ketika ini, JPP sedang fokus kepada siasatan awal berhubung undi ragu dan aduan dibangkitkan di bahagian, serta melihat kepada kemenangan membabitkan majoriti tipis di bahagian.
“Bagi JPP, kita tidak ada masalah untuk membuat siasatan (audit forensik) itu dalam sistem pemilihan kerana ia akan memberikan keputusan yang betul-betul jelas. Kita masih mempertimbangkan perkara itu,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan calon jawatan naib presiden, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, yang mengatakan lebih 25,000 undi hilang dalam Pemilihan PKR 2022, baru-baru ini.
Farhash mendakwa, seramai 147,000 ahli PKR mengundi calon timbalan presiden, namun undi diperoleh Rafizi Ramli dan Saifuddin Nasution Ismail hanya berjumlah 119,030.
Namun, Ketua Biro Undang-Undang Pemuda PKR, Chiew Choon Man, dilapor menafikan dakwaan Farhash serta memaklumkan bahawa ahli PKR tidak diwajibkan mengundi setiap jawatan dalam pemilihan itu.
Dalam pada itu, Zaliha berkata bagi mengenal pasti perkara berkenaan, JPP akan menjalankan audit dalaman terlebih dulu, sebelum audit forensik dilakukan.
“Biar kita menyelesaikan dulu isu undi ragu dan permintaan bahagian serta calon untuk kiraan semula, termasuk kes yang kalah dengan satu undi. Dalam sehari dua ini akan selesai,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, JPP kini memberi tumpuan kepada pencalonan bagi 20 jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Pemuda PKR Pusat dan Ahli Majlis Wanita PKR Pusat.
“Senarai penuh pencalonan itu akan siap pada 7 Jun ini,” katanya.