Jalaluddin nafi mahu jadi MB N Sembilan

Jalaluddin nafi mahu jadi MB N Sembilan

Ketua Umno negeri berkata beliau serah kepada Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pilih siapa layak pegang jawatan itu.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno N9- Jalaluddin Alias
Ketua Umno Negeri Sembilan Jalaluddin Alias berkata beliau sudah hantar permohonan untuk menghadap Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bagi memaklumkan penarikan sokongan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun.
SEREMBAN:
Ketua Umno Negeri Sembilan Jalaluddin Alias menafikan beliau bercita-cita menjadi menteri besar selepas mengetuai 14 Adun parti itu menarik sokongan terhadap pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Aminuddin Harun.

Jalaluddin yang juga Adun Pertang berkata, mana-mana pihak layak menjadi menteri besar dan beliau menyerahkan perkara itu kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

“Ada pihak mengatakan tindakan Umno ini menyusahkan rakyat dan mahu merebut kuasa untuk menjadi menteri besar.

“Ini bukan matlamat kita. Saya sudah menjadi exco kanan dan perbincangan kita, bukan saya nak jadi menteri besar. Sesiapa sahaja boleh jadi menteri besar. Saya boleh, Mustapha Nagoor (Adun Palong) boleh, Mohd Faizal Ramli (Adun Linggi) pun boleh.

“Yang di-Pertuan Besar memutuskan siapa akan menjadi menteri besar, bukan saya. Jadi ini bukan matlamatnya, jangan silap faham,” katanya dalam sidang media di Wisma Umno Negeri Sembilan.

Sementara itu, Jalaluddin memaklumkan Umno sudah menghantar permohonan rasmi petang semalam untuk menghadap Tuanku Muhriz bagi memaklumkan penarikan sokongan terhadap Aminuddin.

“Buat masa ini, saya belum lagi dititah menghadap baginda dan bersedia pada bila-bila masa untuk menghadap,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Jalaluddin juga mencadangkan satu sidang DUN khas dipanggil segera bagi menangani kemelut politik yang melanda negeri itu.

Beliau berkata, jika sidang DUN ditangguh dalam tempoh enam bulan seperti dimaklumkan, ia dikhuatiri akan mewujudkan ketidaktentuan dalam pentadbiran kerajaan negeri serta membuka ruang kepada pelbagai masalah baharu.

“Sidang DUN khas mesti dipanggil untuk memutuskan segala krisis politik yang berlaku demi kestabilan dan kepentingan kerajaan negeri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.