Tiada kemas kini, pengusaha spa terpaksa tentukan sendiri SOP Covid-19

Tiada kemas kini, pengusaha spa terpaksa tentukan sendiri SOP Covid-19

Menurut Persatuan Spa Malaysia, ahlinya tidak pasti SOP mana yang masih berkuat kuasa berikutan tiada kemas kini sehingga sekarang.

Sebilangan pengusaha industri kesihatan seperti spa menggunakan SOP yang ditetapkan sendiri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan masih belum menyediakan prosedur operasi standard (SOP) untuk industri kesihatan ketika negara beralih kepada fasa endemik Covid-19, biarpun semua sektor ekonomi telah dibuka sepenuhnya sejak 15 Mei.

Pengurus Besar Energy Spa & Wellness Cammy Loh berkata, tiada sebarang petunjuk daripada kerajaan bahawa ia sedang mengemas kini SOP itu.

Sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama, ahli terapi perlu memakai peralatan pelindung diri (PPE) penuh ketika menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan.

Loh berkata, sejak itu tiada perkembangan terbaru dibuat walaupun penggiat industri meminta penjelasan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurutnya, syarikat memutuskan untuk menetapkan SOP sendiri termasuk meminta pelanggan yang tidak divaksin untuk menjalani ujian RTK-Antigen sebelum masuk ke dalam premis.

Katanya, syarikat mengambil pendekatan lebih ketat biarpun Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan kemasukan ke semua premis dibenarkan tanpa mengira status vaksinasi mulai 1 Mei.

Manakala itu, Presiden Persatuan Spa Malaysia Hana Halim berkata, ahlinya tidak pasti SOP mana yang masih berkuat kuasa.

“Mereka keliru mengenai langkah yang patut dilakukan dan bimbang dengan tindakan serbuan atau masalah penguatkuasaan lain,” katanya.

Beliau menyalahkan keadaan itu kerana kurangnya panduan daripada kerajaan.

Katanya, ramai ahli terapi masih menggunakan PPE walaupun Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 hanya menetapkan pemakaian sarung tangan, pelitup muka dan pelindung muka.

Berikutan itu, beliau menggesa pihak berkuasa agar bekerjasama dengan pemain industri untuk merangka SOP yang dikemas kini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.