
Mangsa yang masing-masing berusia 55 dan 40 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah kira-kira 4 petang.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Ramli Kasa, siasatan mendapati tayar kereta Proton Preve dinaiki penyelia KKM di Seremban, Negeri Sembilan, berusia 55 tahun itu pancit.
Katanya, seorang lagi mangsa yang berusia 40 tahun kemudiannya datang untuk membantu dengan menaiki Proton Wira.
“Tidak lama selepas itu, sebuah lori dari arah Kuala Selangor ke Kuala Lumpur dipercayai mengelak ke kanan selepas melihat beberapa orang di bahu kiri jalan.
“Pada masa sama, sebuah kereta Mercedes yang datang dari arah belakang sebelah kanan lori (titik buta) menyebabkan pemandu lori cuba mengelak kereta ini.
“Kenderaan berat itu kemudian melanggar kedua-dua mangsa di tepi jalan,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang (HTK) untuk bedah siasat.
“Ketika kejadian, kawasan kemalangan adalah jalan lurus dua lorong dan keadaan cuaca baik serta jalan rata. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Rakaman video berdurasi 15 saat turut tular di Facebook sejak semalam yang memaparkan kejadian berkenaan.