
Pemangku Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun, berkata lelaki berusia 28 tahun itu ditahan di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), di Kota Bharu, malam Ahad, selepas menerima laporan dibuat mangsa.
“Dalam laporan yang dibuat, mangsa yang juga seorang jurujual kain dan tudung berada di rumahnya di Kampung Kijang, Jalan PCB, keluar dari bilik untuk membuang sampah pada jam 12.30 tengah hari Ahad lalu.
“Mangsa mendakwa didatangi suspek yang tiba-tiba menolaknya dari belakang sebelum mengheretnya ke katil dalam bilik tidur.
“Mangsa cuba melawan dan menjerit namun tiada ahli keluarga di rumah ketika kejadian dan remaja perempuan itu mendakwa dia dirogol tanpa kerelaan,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Hasil pemeriksaan dilakukan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) mengesahkan ada satu kesan koyakan baharu.
Zaki berkata, hasil siasatan dan temu bual dijalankan, mangsa mengenali suspek yang juga pelanggan tetap di kedai makan milik emaknya.
Mangsa juga mendakwa pernah menerima mesej menerusi aplikasi ‘WhatsApp’ yang berbaur lucah serta gambar lucah daripada suspek tahun lalu, ketika masih bersekolah.
“Suspek ditahan pada hari sama di Kampung Kijang, Jalan PCB dan semakan yang dibuat mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau.
“Polis turut merampas baju dan seluar yang digunakan oleh suspek ketika jenayah dilakukan,” katanya.
Katanya, suspek direman empat hari bermula semalam sehingga 2 Jun dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.