
Pegawai Penyelidik Undang-Undang di sebuah firma guaman, Suhana Zam, 40, berkata ketika itu beliau ingin membuang sampah di bahagian bilik dobi tersebut, kira-kira 4 pagi.
“Pada hari itu, saya telah melakukan kerja-kerja pejabat hingga jam 4 pagi. Semasa hendak membuang sampah, saya tidak membuka lampu.
“Saya tersepak Bella yang sedang baring di lantai bilik dobi… saya tergamam kerana itu kali pertama saya melihat Bella berada dalam keadaan tersebut,” kata saksi pendakwaan kelapan itu menurut laporan Bernama.
Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, pada perbicaraan kes pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali.
“Bella baring mengiring sebelah kiri, dia mengerekot, saya terlanggar tapi dia tidak terkejut pun. Saya terhenti 10 hingga 15 saat, saya pandang dia, saya tidak percaya (dengan) apa yang saya lihat,” katanya.
Menurutnya, beliau kemudian menutup dan mengunci pintu serta lampu sebelum masuk ke bilik untuk tidur.
“Saya cuba tidur tetapi tidak boleh sebab terbayangkan keadaan Bella,” katanya, dengan menjelaskan beliau menyaksikan insiden itu ketika menghadiri majlis sambutan Hari Raya bersama Siti Bainun serta penghuni unit kondominium di Wangsa Maju itu, dengan kakak angkatnya Haiza, pada 21 Mei 2021.
“Saya tiba di sana dalam tengah hari dan merancang untuk duduk selama dua hari. Apabila saya masuk ke tempat itu, saya nampak Bella berdiri di tepi dinding menghadap meja makan dan terdapat kecederaan pada leher Bella iaitu kulitnya melecur serta merah-merah,” katanya sambil memaklumkan semasa jamuan Hari Raya itu, Bella berdiri di tepi peti ais dan hanya memakai kemeja-T serta seluar.
“Ketika itu, Siti Bainun menyuruh seorang penghuni rumah yang dikenali sebagai Aida menukar pakaian Bella selepas Kak Haiza memanggil Bella untuk menyertai sesi bersalaman di ruang tamu… Saya dengar Bainun cakap ‘betulkan butang baju tu, bagi tinggi sikit nanti orang nampak kata saya dera pula’,” katanya sambil menambah mangsa kelihatan ceria dan tersenyum apabila dapat turut serta dalam sesi bersalaman itu.
Saksi itu juga, berkata beliau ada bertanya kepada Siti Bainun mengenai kecederaan Bella dan tertuduh memaklumkan bahawa mangsa ‘main simbah-simbah air panas’ dengan adik-beradiknya.
Nor Azizah: Siapakah yang dikatakan adik-beradik Bella?
Suhana: Aida dan Balqis tidak termasuk Yasmin, itu yang saya tahu. Saya cakap pada Siti Bainun takkan kau biar budak-budak bergaduh macam itu dan Siti Bainun menjawab ‘Saya tidak boleh nak buat apa sebab Aida kalau dah marah, hilang akal.’
Semasa tidur di kondominium itu pada Apr 2021, Suhana berkata, Bella berdiri di tepi dinding dan kelihatan tidak ceria, bermuka masam serta tidak berani memandang ke arahnya, namun beliau tidak berkata apa-apa dan hanya menonton televisyen.
Disoal Nor Azizah berapa lama Bella berdiri di lokasi tersebut dan Suhana menjawab: “Saya sampai di kondominium itu lebih kurang 9 malam dan masa saya sampai, Bella sudah berada di situ. Apabila saya nak masuk tidur pada pukul 12 tengah malam, Bella masih di situ. Saya nampak Bella sedih, takut, tidak bercakap dan hanya pandang lantai.”
Saksi itu berkata, beliau juga pernah melihat Bella berdiri di tempat sama lebih 10 jam semasa ke kondominium tersebut untuk berbuka puasa dengan Siti Bainun di sebuah restoran di Chow Kit selain memaklumkan tertuduh telah memberikan kertas dan pensel untuk Bella melukis dari pagi sampai ke malam.
Siti Bainun, 30, didakwa atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.
Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung 13 Jun ini.