Cubaan tukar kerajaan, Pejuang tidak terlibat, kata Mukhriz

Cubaan tukar kerajaan, Pejuang tidak terlibat, kata Mukhriz

Presiden Pejuang itu meminta perkara dibuktikan terlebih dahulu dan tidak boleh sekadar dakwaan.

Mukhriz Mahathir memberitahu bahawa Pejuang mahu memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-15.
PETALING JAYA:
Presiden Pejuang, Mukhriz Mahathir memberitahu bahawa parti itu hanya memberi tumpuan kepada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan tidak terlibat dengan sebarang percubaan untuk menukar kerajaan sedia ada.

Katanya, Pejuang tidak terlibat dalam dakwaan terbaharu bahawa Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin sudah mendapat sokongan 119 ahli Parlimen untuk dilantik semula sebagai perdana menteri.

Sekiranya benar, beliau meminta perkara dibuktikan dan tidak sekadar dakwaan.

“Dalam hal percaturan politik nak tumbangkan kerajaan sedia ada, tukar perdana menteri kami (Pejuang) tak campur tangan. Kami pun empat orang sahaja, bagi kami (Pejuang) hanya membuat persiapan menghadapi PRU15.

“Saya ingat rakyat pun dah meluat kalau asyik nak tukar-tukar ini, dah penat,” katanya menurut laporan Bernama.

Mukhriz yang juga ahli Parlimen Jerlun berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal bahawa beliau dihubungi Muhyiddin bagi mendapatkan sokongan untuk menjadi perdana menteri semula kerana sudah mendapat sokongan 119 ahli Parlimen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.