
MOA itu untuk menjual kapal pasang paip dan kren yang ditandatangani pada Jumaat lepas dengan Safeen Feeder Company – Sole Proprietorship LLC, sebuah syarikat dalam Abu Dhabi Ports Group.
“Harga kapal itu berdasarkan kesediaan pembeli dan penjual, selepas menjalankan proses permintaan untuk cadangan antarabangsa.
“Cadangan langkah penjualan aset itu merupakan sebahagian daripada pelan tetapan semula kumpulan, yang memberi tumpuan kepada kemampanan jangka panjang Sapura Energy dengan meningkatkan kedudukan kecairannya, menyelaraskan model operasinya dan menyediakan lebih fleksibiliti untuk pertumbuhan strategik,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Katanya, tunai yang dijana daripada cadangan penjualan Sapura 3000 akan digunakan untuk modal kerja dan mengurangkan pinjaman kumpulan.
Penjualan aset itu dijangka selesai pada pertengahan Jul ini.
Sapura 3000, sebuah kapal pasang paip serba boleh, mampu melaksanakan projek laut dalam dan cetek, dibina pada 2008 dan kini belayar di bawah bendera Malaysia.
Pada 16 Mei, bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, berkata usaha perlu diambil bagi mengurangkan kerugian ditanggung Sapura.
“Sapura telah berkembang dengan cepat tetapi kita tak tahu macam mana dia boleh jadi rugi begitu besar. Jadi pelabur-pelabur sekarang ini akan rugilah.
“Jadi, apabila rugi kita perlu cari jalan untuk kurangkan kerugian. Tapi bila orang gagal, kita ‘bailout’. Ini bukan perniagaan. Dalam perniagaan ada masa kita untung, ada masa kita rugi,” katanya memetik laporan Sinar Harian.