
Penyedia perkhidmatan minyak dan gas (O&G) bersepadu itu berkata, pelan akhir untuk keluar dari status Nota Amalan 17 (PN17) akan ‘dikemukakan tidak lama lagi’ kepada pengawal selia pasaran modal.
“Kami yakin pelaksanaan pelan ini akan mengembalikan keuntungan kepada kumpulan dan memulihkan keyakinan di kalangan pemegang kepentingan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Muhammad Zamri Jusoh dalam pemfailan syarikat kepada Bursa Malaysia hari ini.
Komponen utama pelan ini ialah ‘penstrukturan semula modal’ yang melibatkan pengurangan modal sebanyak 99.99% untuk mengimbangi kerugian terkumpul serta penyatuan saham 20 kepada 1 bagi meningkatkan harga dagangan saham dan mengurangkan turun naik harga.
Pengurangan modal itu akan menyaksikan modal saham syarikat dikurangkan daripada kira-kira RM12 bilion kepada sedikit lebih RM1 juta. Latihan penyatuan saham pula akan mengurangkan jumlah saham dari sekitar 919 juta kepada 1.01 bilion unit.
Latihan penyusunan semula hutang akan mengurangkan jumlah pinjaman syarikat daripada kira-kira RM10.8 bilion kepada RM5.6 bilion, sekali gus menjimatkan faedah pinjaman melalui beberapa mekanisme seperti penukaran hutang kepada ekuiti dan instrumen berasaskan ekuiti serta pengecualian hutang.
Latihan ini berpotensi mengurangkan kos kewangan sebanyak RM517 juta atau hampir 60% kepada RM322.3 juta daripada RM863.5 juta bagi tempoh 12 bulan berakhir 31 Januari 2025.
Pada masa sama, Sapura Energy juga telah bekerjasama dengan pihak pembiaya kemudahan pembiayaan pelbagai mata wangnya, melalui pengantaraan oleh Jawatankuasa Penstrukturan Semula Hutang Korporat (CDRC), bagi membangunkan ‘penyelesaian boleh diterima’ melalui satu skim penstrukturan semula hutang dicadangkan.
Skim penyusunan ini yang telah diluluskan pemiutang skim berkaitan pada Februari dan disahkan oleh Mahkamah pada Mac, menyediakan satu rangka kerja penyelesaian hutang tersusun.