495 penerbangan tertunda lebih sejam semasa Aidilfitri, kata Mavcom

495 penerbangan tertunda lebih sejam semasa Aidilfitri, kata Mavcom

AirAsia merekodkan 368 daripada 2,954 penerbangannya ditunda melebihi satu jam, diikuti MAS 44 daripada 1,447 penerbangan ditunda bagi tempoh sama.

Sepanjang tempoh Aidilfitri, AirAsia mengendalikan 2,954 penerbangan yang mana 13% atau 368 penerbangan tertunda melebihi satu jam. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sebanyak 8% atau 495 penerbangan melakukan penundaan penerbangan melebihi satu jam sepanjang tempoh perjalanan sempena Aidilfitri, baru-baru ini, menurut Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).

Mavcom dalam penemuan awal siasatan yang dikeluarkan, hari ini, mengenai penundaan penerbangan syarikat penerbangan semasa tempoh perjalanan Aidilfitri, berkata siasatan itu melibatkan analisis data gangguan jadual penerbangan dibuat berdasarkan data dikemukakan syarikat penerbangan dan pengendali lapangan terbang.

Menurutnya, berdasarkan penemuan awal Mavcom, lebih 6,000 penerbangan domestik dikendalikan syarikat penerbangan tempatan sepanjang tempoh perjalanan Aidilfitri dari 29 Apr hingga 9 Mei 2022, berbanding lebih 8,000 penerbangan domestik dikendalikan sepanjang tempoh perayaan itu pada Jun 2019, sebelum penularan Covid-19.

“Sepanjang tempoh perjalanan itu, AirAsia mengendalikan 2,954 penerbangan yang mana 13% atau 368 penerbangan tertunda melebihi satu jam. Ini diikuti Malaysia Airlines yang mengendalikan 1,447 penerbangan dengan mencatatkan 3% atau 44 penerbangan tertunda.

“Selain itu, MASwings mengendalikan 656 penerbangan dengan 10% atau 64 penerbangan tertunda, manakala penerbangan Firefly turut tertunda sebanyak 2% atau 15 penerbangan daripada 680 penerbangan dikendalikan,” katanya.

Katanya Batik Air (sebelum ini dikenali sebagai Malindo Air) yang mengendalikan 555 penerbangan mencatatkan 1% atau empat penerbangan tertunda.

Bagi penundaan penerbangan melebihi dua jam, analisis awal menunjukkan bahawa 71% atau 119 penerbangan tertunda disebabkan beberapa faktor operasi, antaranya kekurangan pesawat, perhentian penerbangan malam yang tidak berjadual disebabkan had waktu pekerjaan sah anak kapal dan kelewatan ketibaan lanjutan dari penundaan, katanya.

Suruhanjaya berkata, ini diikuti oleh faktor teknikal seperti kerosakan pesawat, penyelenggaraan mendesak yang tidak dijadualkan, serta kekurangan alat ganti atau peralatan penyelenggaraan, yang secara kolektif menyumbang kepada 25% atau 41 penerbangan ditunda melebihi dua jam.

“Kedua-dua faktor operasi dan teknikal menyumbang kepada 96% atau 160 penerbangan daripada jumlah penerbangan yang ditunda melebihi dua jam dalam tempoh perjalanan tersebut. Faktor lain disumbangkan oleh keadaan cuaca buruk,” katanya.

Suruhanjaya tersebut sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai penyediaan penjagaan bagi 160 penerbangan yang ditunda melebihi dua jam untuk memastikan sama ada penjagaan seperti yang ditetapkan di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) telah disediakan kepada pengguna.

Katanya, pengguna terjejas akibat penundaan penerbangan melebihi dua jam disebabkan faktor operasi dan teknikal hendaklah diberikan makanan, panggilan telefon dan akses internet, selain penginapan dan pengangkutan bagi penundaan penerbangan selama lima jam atau lebih, sekiranya penginapan diperlukan oleh pengguna.

Pengerusi Eksekutif Mavcom Saripuddin Kasim, berkata MACPC telah ditubuhkan untuk memastikan hak-hak pengguna penerbangan sentiasa dilindungi, dan syarikat penerbangan perlu mematuhi undang-undang sedia ada

“Pengguna harus ditawarkan penjagaan secara automatik seperti yang tertakluk di bawah MACPC dan tidak perlu meminta penjagaan daripada syarikat penerbangan.

“Suruhanjaya sedang dalam proses pengesahan justifikasi yang diberikan oleh syarikat penerbangan berkaitan penyediaan penjagaan semasa penundaan penerbangan dalam tempoh yang ditinjau,” katanya.

Menurut Saripuddin, Mavcom tidak akan teragak-agak untuk melaksanakan kuasanya sekiranya justifikasi yang diberikan tidak memenuhi keperluan di bawah MACPC.

Saripuddin berkata, bergantung kepada jenis dan tahap ketidakpatuhan, syarikat penerbangan boleh dikenakan penalti kewangan tidak melebihi RM200,000 untuk kesalahan pertama, dan dalam hal ketidakpatuhan kedua atau yang berikutnya, suatu amaun 10 kali daripada penalti kewangan yang telah dikenakan sebelumnya bagi ketidakpatuhan terhadap MACPC.

“Sebagai pengawal selia ekonomi dan komersial bagi industri penerbangan negara, adalah menjadi kewajipan kami untuk memastikan penyiasatan yang mendalam dan objektif dijalankan sebelum sebarang tindakan diambil oleh suruhanjaya.

“Selaras dengan mandat kami, Mavcom bermatlamat untuk menjadikan industri penerbangan awam di Malaysia berdaya maju dari segi komersial dan berdaya tahan, sambil memperkasakan pengguna untuk melindungi hak-hak mereka sebagai pengguna penerbangan,” katanya.

Suruhanjaya turut menggesa semua syarikat penerbangan memainkan peranan dalam mendidik pengguna berhubung hak penerbangan mereka seperti yang diperuntukkan dalam perenggan 19 MACPC.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.