
Fahmi berkata, pada pemilihan kali ini berlaku peningkatan 7,000 pengundi yang keluar berbanding 2018 iaitu hanya 10% atau kira-kira 140,000 ahli.
“Pada saya 7,000 adalah peningkatan positif, parti akan kaji apa yang perlu kita buat untuk tingkatkan keterlibatan anggota dalam proses pemilihan,” katanya ketika ditemui di rumah terbuka Parlimen Lembah Pantai, hari ini.
Beliau berkata, antara sebab peratusan keluar mengundi rendah kerana 65 daripada 222 bahagian tiada pertandingan susulan tiada pencabar.
“Bila ada pertandingan, pihak lawan akan berusaha membawa keluar pengundi lebih ramai,” katanya yang turut menang tanpa bertanding di Lembah Pantai.
Fahmi berkata demikian ketika mengulas kritikan berkaitan peratusan memilih rendah pada pemilihan PKR, termasuk Otai Reformis yang tidak menolak kemungkinan perkara itu berlaku disebabkan ramai ahli parti tidak berpuas hati dan kecewa dengan prestasi Pakatan Harapan (PH) sepanjang 22 bulan mentadbir Putrajaya.
Mengulas lanjut, ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata agak sukar meramalkan perkara berkenaan memandangkan masih belum ada kajian dibuat.
Bagaimanapun, Fahmi berkata, jika dibandingkan ahli PKR yang mengundinya pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), tetap membuat perkara sama dalam pemilihan PKR kali ini.
“Memang saya mengharapkan lebih ramai keluar mengundi. Keadilan antara parti yang amalkan satu anggota satu undi, kita akan lihat di masa depan bagaimana kita boleh atasi masalah ini,” katanya.
Sementara itu, Fahmi menolak kenyataan Penganalisis Politik Azizuddin Mohd Sani daripada Universiti Utara Malaysia bahawa peratusan rendah keluar mengundi mungkin menimbulkan keraguan terhadap pemegang jawatan dan persoalan terhadap jumlah sebenar keahlian PKR.
Beliau turut membandingkan situasi sama dengan pilihan raya negeri (PRN) Johor yang mencatatkan 54.92% keluar mengundi namun keputusan tetap dikira berdasarkan sistem demokrasi.
“Bagi saya tak, kalau ikut logik seperti itu oleh penganalisis, bagaimana keabsahan bagi PRN Johor yang memperlihatkan jumlah keluar mengundi rendah. Ini satu realiti tentang demokrasi, akhirnya pilihan dibuat oleh mereka yang memilih untuk keluar mengundi,” katanya.