
Wanita itu yang dikenali sebagai Puan Wong berkata, anak lelakinya diperdaya ke Kemboja tujuh bulan lalu dan memaklumkan dia terkandas di sana.
Katanya, usaha menyelamatkan anaknya gagal setakat ini, walaupun beliau sudah memberikan maklumat berharga kepada pihak berkuasa.
Beliau percaya pegawai korup di agensi penguatkuasaan Kemboja bersekongkol dengan sindiket terbabit.
Jelasnya, beliau mendapat maklumat mengenai lokasi anaknya melalui usaha beberapa individu dan daripada apa yang diberitahu anaknya dalam panggilan telefon rahsia.
Beliau memberikan maklumat itu kepada Kedutaan Malaysia di Phnom Penh, yang dipercayai menyampaikan maklumat berkenaan kepada polis Kemboja.
“Tetapi, saya terkejut sindiket terbabit menyoal anak saya mengenai butiran itu yang mereka terima daripada polis Kemboja,” kata Wong kepada FMT. Akibatnya, anaknya kini terperangkap dalam rangkaian rumit pemerdagangan manusia dan sindiket penipuan di Kemboja.
“Selepas maklumat itu dibocorkan, anak saya dihantar kepada sindiket lain. Daripada perbualan telefon dengan anak saya beberapa hari lalu, dia memaklumkan dirinya sekali lagi dipindahkan kepada sindiket ketiga.”
FMT sudah menghantar e-mel kepada Kedutaan Malaysia di Kemboja untuk mendapatkan penjelasan.
Difahamkan, apabila mangsa gagal menjalankan tugasnya untuk menipu orang melalui panggilan telefon atau dalam talian, sindiket akan menjual atau memindahkan mereka kepada sindiket lain.
Anak Wong diperdaya untuk bekerja sebagai “telemarketer bergaji tinggi” di Kemboja. Dia dibawa beberapa individu dari Pulau Pinang ke Kemboja menggunakan laluan haram pada November lalu.
Puan Wong berkata, rupa-rupanya kerja sebenarnya ialah menipu orang melalui panggilan telefon atau dalam talian.
Beliau berkata, langkah terakhirnya ialah membayar wang tebusan sekurang-kurangnya USD13,000 kepada sindiket itu untuk membebaskan anaknya.
“Saya dengar ada mangsa yang dibebaskan, selepas keluarga mereka membayar wang tebusan. Tetapi, USD13,000 adalah jumlah besar bagi saya dan itu pasti bukan penghujung pengalaman pahit.”
Katanya, beliau diberitahu jika mangsa dibebaskan, mereka akan ditahan dan disiasat oleh pihak berkuasa Kemboja kerana memasuki negara itu secara haram.
“Saya berharap dia dapat diselamatkan. Dia rindu rumah, dia rindu keluarganya dan saya benar-benar bimbang mereka akan melakukan sesuatu yang tidak baik terhadapnya.”
Mac lalu, Wong membawa butiran masalah anaknya kepada Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Michael Chong.
Chong berkata, lebih 50 belia Malaysia ditahan di Kemboja dan dipaksa menipu orang.
Setakat ini, 16 rakyat Malaysia berjaya diselamatkan dari wilayah Preah Sihanouk di Kemboja dan dibawa pulang ke tanah air.
Chong memberitahu FMT, dua lagi remaja berjaya diselamatkan kira-kira tiga minggu lalu. “Mereka masih berada di Kemboja serta menunggu proses dokumentasi dan harap dapat dibawa pulang minggu depan.”