
Perjanjian Kuala Lumpur atau ‘Kuala Lumpur Accord’ itu menegaskan komitmen kedua-dua negara untuk menghentikan permusuhan serta-merta, menarik balik senjata berat dari zon konflik, dan memulakan operasi pembersihan periuk api secara bersama.
Ia juga merangkumi pembebasan 18 tahanan perang Kemboja serta penempatan pemerhati Asean, termasuk wakil dari Malaysia, bagi memantau pelaksanaan gencatan senjata tersebut.
Ketegangan antara Kemboja dan Thailand tercetus pada Julai lalu, yang membawa kepada pertempuran paling berdarah dalam beberapa dekad, mengorbankan lebih 40 nyawa dan memaksa kira-kira 300,000 orang berpindah.
Dalam ucapannya sebelum majlis menandatangani perjanjian itu, Presiden AS Donald Trump menyifatkan perjanjian tersebut sebagai ‘hari bersejarah bagi seluruh rakyat Asia Tenggara,’ sambil memuji kepimpinan berani Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul.
Trump turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, selaku pengerusi Asean, kerana menjadi tuan rumah rundingan tersebut, sambil menyatakan bahawa Malaysia menyediakan ‘tempat neutral’ yang membantu mempertemukan kedua-dua pihak.
Trump berkata terdapat ‘banyak panggilan telefon antara kami berempat’ selepas insiden berdarah pada Julai, namun menegaskan bahawa pentadbirannya berjaya ‘menghentikannya.’
Anwar, yang menjadi tuan rumah majlis itu, mengucapkan terima kasih kepada Trump atas ‘keteguhan dan keberanian’ beliau dalam menyokong proses damai itu.
“Terima kasih dan kami menghargai komitmen anda. Dunia memerlukan pemimpin yang sanggup memperjuangkan keamanan,” katanya.
Hun Manet dan Anutin masing-masing turut menyatakan penghargaan kepada Trump atas penglibatan peribadi beliau dalam rundingan tersebut, dengan perdana menteri Kemboja itu mengulangi bahawa beliau telah mencalonkan Trump untuk Anugerah Keamanan Nobel sebagai pengiktirafan terhadap peranannya dalam proses rundingan damai berkenaan.