Ruang berkecuali makin sempit, Asean digesa kekal bersatu

Ruang berkecuali makin sempit, Asean digesa kekal bersatu

Menteri Luar Malaysia Mohamad Hasan berkata kedudukan pusat Asean sedang diuji di tengah-tengah persaingan yang semakin sengit dalam perdagangan, teknologi dan keselamatan.

Mohamad Hasan
Menteri Luar Mohamad Hasan ketika berucap pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean, mengingatkan bahawa perpecahan dalam blok itu boleh menggalakkan kebangkitan kumpulan kuasa baharu di rantau ini.
KUALA LUMPUR:
Menteri Luar Mohamad Hasan memberi amaran bahawa ‘ruang untuk berkecuali dan kedudukan pusat’ Asean kini semakin sempit berikutan persaingan kuasa besar yang semakin sengit di pelbagai bidang.

Dalam ucapan pembukaannya sebagai pengerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean, beliau berkata blok serantau itu mesti kekal tegas dan bersatu ketika persaingan dalam bidang perdagangan, teknologi, dan keselamatan semakin mendalam.

“Ketika landskap antarabangsa semakin didominasi oleh pertentangan berbanding konsensus, perpecahan berbanding dialog, Asean kini berada di persimpangan.

“Kita mesti terus bertindak sebagai pihak yang bersuara, bukan pihak yang disuarakan,” katanya.

Mohamad berkata kesatuan Asean amat penting untuk mengekalkan autonomi strategik dan memastikan blok itu kekal sebagai platform utama dialog dan kerjasama serantau.

“Keraguan atau perpecahan hanya akan menggalakkan perpecahan yang lebih luas dan menyebabkan kemunculan kumpulan kecil berbilang hala (minilateral) yang boleh menjejaskan kedudukan pusat Asean.”

Mengenai isu panas serantau, Mohamad berkata Malaysia bersemangat dengan kemajuan dicapai dalam mengurangkan ketegangan antara Thailand dan Kemboja selepas insiden pertempuran di sempadan baru-baru ini, sambil menyatakan bahawa pendekatan diplomatik kedua-dua negara itu ‘mengingatkan kita tentang betapa rapuhnya keamanan’.

Beliau berkata Asean menantikan pemeteraian perjanjian gencatan senjata rasmi serta penugasan pasukan pemerhati Asean semasa sidang kemuncak itu.

Berhubung krisis di Myanmar, Mohamad menegaskan bahawa proses perdamaian mesti dipimpin oleh rakyat Myanmar sendiri, dengan sokongan Asean.

Beliau berkata, walaupun kemajuan tidak boleh dipaksa, Asean juga tidak mampu untuk berdiam diri.

“Apabila kesukaran timbul, kita boleh — dan mesti — bertindak sebagai satu kesatuan,” katanya sambil menambah bahawa Malaysia telah menghantar bantuan dan petugas selepas gempa bumi membabitkan kematian di Myanmar awal tahun ini.

“Apa jua ketidaktentuan yang menanti, kita akan menghadapinya dengan cara Asean. Kepelbagaian kita akan terus menjadi sumber kekuatan terbesar kita.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.