
Menterinya Hamzah Zainuddin, berkata terdapat juga bukti di mana UNHCR dengan kerjasama pihak lain kononnya menggunakan nama persatuan Rohingya memberikan kad perlindungan itu kepada warganegara Indonesia dan India yang bukannya terdiri daripada pelarian.
“Saya nak bagi satu contoh bagaimana seorang warga Indonesia boleh mendapat kad UNHCR, jadi sebab itu kita nak beritahu kepada UNHCR, ini negara kita, negara Malaysia, jangan mengeluarkan kad dengan sewenangnya atas persetujuan persatuan Rohingya.
“Ini menunjukkan mereka seolah-olah ada kerjasama, mana boleh satu persatuan yang tidak tertubuh dan tidak didaftarkan di Malaysia melakukan sesuatu dengan mengeluarkan satu surat mengatakan warga Indonesia ini patut diberikan perlindungan melalui UNHCR.
“Saya nak maklum sudah nampak ada bukti-bukti untuk mencari kesalahan yang dilakukan semua pihak termasuk UNHCR,” katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi bersama Jabatan Imigresen di Pasar Besar Meru, di sini malam ini,
Hamzah turut tidak menolak kemungkinan wujud sindiket dalam mengeluarkan kad UNHCR.
“Saya lihat tempat tinggal mereka (pelarian) amat sedih sekali, ini membuktikan mereka tidak ada jalan lain selain terus tinggal.
“Kerja di kawasan sebegini dan melahirkan anak, dan saya perhatikan bila lahir anak-anak ini mereka secara automatik diberi kad UNHCR, ia akan membebankan kita,” katanya.
Hamzah berkata, pihaknya akan memanggil wakil UNHCR dan menunjukkan bukti kesalahan yang dikesan Jabatan Imigresen termasuk menyertakan dokumen yang telah disalah guna dan diberikan kepada warga asing yang tidak layak.