Segerakan siasatan perolehan dalam perkhidmatan kesihatan, gesa PAC

Segerakan siasatan perolehan dalam perkhidmatan kesihatan, gesa PAC

Gesaan itu buat Pengerusi PAC, Wong Kah Woh bagi mengenalpasti sama ada wujud penyelewengan, pemborosan dan penyalahgunaan kuasa.

Wong Kah Woh berkata, PAC memandang serius kenyataan ketua pesuruhjaya SPRM berhubung siasatan terhadap fungsi perolehan perkhidmatan perubatan, penyalahgunaan kuasa dalam pengagihan bantuan serta pakej rangsangan kerajaan.
PETALING JAYA:
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) meminta ketua audit negara melakukan audit khas terhadap perolehan dan perbelanjaan bagi perkhidmatan perubatan ketika negara berhadapan pandemik Covid-19.

Ini termasuk isu penyalahgunaan kuasa dalam mengalihkan bantuan serta pakej rangsangan yang diberikan kerajaan.

Pengerusinya, Wong Kah Woh berkata, ia perlu dilakukan segera dengan dapatan dan hasilnya dibentangkan kepada PAC bagi mengenal pasti sama ada wujud unsur penyelewengan, pemborosan dan penyalahgunaan kuasa dalam perolehan perkhidmatan perubatan.

“Saya sudah memaklumkan perkara itu secara rasmi kepada ketua audit negara semalam supaya Jabatan Audit Negara menjalankan pengauditan khas terhadap perkara itu.

“Dengan pengauditan khas ini, PAC akan menggunakan punca kuasa bawah Peraturan Mesyuarat 77(1)(d) dan Peraturan Mesyuarat 77(5) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat serta Seksyen III, Perkara 11 (b) untuk memanggil Kementerian Kewangan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kementerian serta agensi terbabit untuk memberikan taklimat dan penjelasan kepada jawatankuasa berhubung perkara ini,” katanya dalam kenyataan.

Wong berkata, PAC memandang serius kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki pada 24 Mei lalu berhubung siasatan yang dijalankan terhadap fungsi perolehan perkhidmatan perubatan, penyalahgunaan kuasa dalam mengalihkan bantuan serta pakej rangsangan kerajaan.

“PAC tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengaut keuntungan untuk kepentingan peribadi,” katanya,

Azam sebelum ini berkata, SPRM membuka siasatan bagi menyiasat penipuan berkaitan peralatan perlindungan perubatan yang dipalsukan seperti pelitup muka, sarung tangan dan lain-lain.

“Siasatan ini untuk memastikan wujudnya penyediaan kuantiti dan kualiti peralatan perubatan yang didakwa lebih rendah serta rasuah pegawai penguat kuasa dalam barisan penguatkuasaan ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.