PIBG prihatin, tawar khidmat jaga, hantar murid percuma bagi ibu bapa ada kecemasan

PIBG prihatin, tawar khidmat jaga, hantar murid percuma bagi ibu bapa ada kecemasan

Inisiatif itu bermula sejak awal tahun ini selepas pihak PIBG SK Seri Pristana, Sungai Buloh mendapati banyak kes murid terpaksa menunggu ibu bapa sehingga lewat petang.

Inisiatif menjaga dan menghantar murid ke rumah akan diteruskan oleh PIBG Sekolah Kebangsaan Seri Pristana bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.
PETALING JAYA:
Ada segelintir murid di sebuah sekolah rendah di Sungai Buloh, Selangor terpaksa menunggu ibu bapa mereka berjam-jam bersendirian di luar pekarangan sekolah dengan perut kelaparan.

Prihatin dengan situasi itu, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) sekolah berkenaan memberikan perkhidmatan “percuma” menjaga dan menghantar kanak-kanak terbabit ke rumah mereka.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Sekolah Kebangsaan Seri Pristana (SKSP), Fairus Suhana Roslai berkata, inisiatif itu dizahirkan sendiri Yang Dipertua PIBG sekolah berkenaan, Azmanizam Baharom apabila mendapati banyak kes murid terpaksa menunggu ibu bapa mereka sehingga lewat petang malah melewati waktu Maghrib.

“Kebanyakan kes berlaku pada murid sesi petang bila ada ‘transporter’ terlepas pandang, selain ibu bapa tersekat dalam kesesakan jalan dan kereta rosak,” katanya kepada FMT.

Inisiatif itu dizahirkan selepas PIBG mendapati banyak kes murid terpaksa menunggu ibu bapa mereka sehingga lewat petang malah melewati waktu Maghrib.

Beliau berkata, terdapat kes pihak mereka terpaksa menjaga murid sehingga jam 8 malam kerana ibu bapa murid berkenaan tidak memaklumkan atau memberi respons dalam kumpulan komunikasi PIBG sekolah.

“Kes ini berlaku beberapa hari lalu apabila murid berkenaan duduk bersendirian di luar pekarangan sekolah. Bila kita tanya, dia tak ingat langsung maklumat atau nombor telefon ibu bapanya.

“Jadi, kita terpaksa hubungi guru kelas dan meminta nombor telefon ibu bapa murid itu untuk dihubungi. YDP kami yang prihatin dengan nasib murid itu membawanya makan terlebih dahulu sebelum menghantarnya pulang,” katanya.

Fairus Suhana Roslai.

Fairus berkata, bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini, beliau berharap ibu bapa yang kerap berdepan kesesakan lalu lintas mengaturkan pengangkutan untuk anak mereka agar keselamatan si kecil terjamin.

“Bila selalu sangat murid yang sama, YDP akan berjumpa dengan ibu bapa terbabit untuk cari penyelesaian.

“Kita faham ada ibu bapa yang tak mampu ambil pengangkutan tetapi bila dah selalu terjadi pada murid sama, kita memang nasihatkan cuba usaha untuk ambil anak awal atau letak di rumah pengasuh sebab kesian dekat budak tu, esok nak sekolah lagi,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan akan diteruskan dengan sokongan semua pihak bagi memastikan keselamatan murid sekolah terbabit terjamin.

“Perkhidmatan ini akan diteruskan secara percuma untuk ibu bapa yang ada hal kecemasan. Kita akan terus bantu setakat mana yang termampu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.