Tambang bas sekolah naik atas persetujuan PIBG, persatuan, kata Loke

Tambang bas sekolah naik atas persetujuan PIBG, persatuan, kata Loke

Menteri pengangkutan berkata kenaikan tambang itu tiada kawalan serta tidak tertakluk di bawah Kementerian Pengangkutan.

bas sekolah
Tambang bas sekolah dijangka naik antara RM5 hingga RM10 bagi sesi persekolahan 2025 bermula bulan depan.
KUALA LUMPUR:
Kenaikan tambang bas sekolah antara RM5 hingga RM10 yang dijangka bermula bulan depan adalah daripada persetujuan antara persatuan bas sekolah dan juga Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata kenaikan tambang itu tidak dikawal dan tidak tertakluk di bawah kementeriannya.

“Tambang bas itu sudah tidak lagi ‘regulated’ (dikawal selia), ia antara pihak PIBG dengan pengusaha bas, itu sahaja,” katanya dalam sidang media sempena pengumuman perubahan jadual waktu KTM Komuter di Stesen Sentral, Kuala Lumpur.

Loke berkata demikian ketika diminta mengulas kenaikan tambang bas sekolah yang dijangka naik antara RM5 hingga RM10 seorang bagi sesi persekolahan 2025 mulai bulan depan.

Terdahulu Presiden Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) Mohd Rofik Mohd Yusof dilaporkan berkata, keputusan kadar tambang sepenuhnya terletak kepada rundingan dua hala (pengusaha bas dan ibu bapa), tanpa campur tangan kerajaan.

Sementara itu, Loke memaklumkan bermula 20 Jan depan, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan membuat perubahan waktu perjalanan perkhidmatan komuter arah Pelabuhan Klang – KL Sentral – Pelabuhan Klang bagi mengimbangi kerja-kerja menaik taraf kemudahan infrastruktur landasan Kereta Api Berkembar Elektrik Lembah Klang 2 (KVDT2).

Pihaknya juga akan menyusun semula aset dan jadual agar kekerapan boleh dikurangkan kepada 30 minit berbanding 60 minit sebelum ini menggunakan kombinasi tren, bas dan van.

“Untuk arah Pelabuhan Klang ke KL Sentral, tren akan beroperasi pada kekerapan 30 minit pada waktu puncak pagi dan waktu lain akan digantikan dengan bas pada kekerapan 30 minit.

“Untuk arah KL Sentral ke Pelabuhan Klang, tren akan beroperasi pada kekerapan 30 minit pada waktu puncak petang dan waktu lain akan digantikan dengan bas pada kekerapan 30 minit,” katanya.

Projek itu bertujuan menaiktaraf infrastruktur dan landasan yang telah berusia lebih dari 25 tahun bagi meningkatkan kecekapan dan menjamin keselamatan pengoperasian tren jangka panjang.

KVDT2 bagi laluan Simpang Pelabuhan Klang – Seremban bermula pada Mei 2023 dan dijangka siap pada Okt 2028.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.