
Ketua Polis Port Dickson Maslan Udin dalam kenyaaan berkata, laporan berhubung isu itu dibuat oleh seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun semalam.
Beliau berkata, siasatan masih diteruskan sebelum dirujuk kepada pihak pendakwaan bagi arahan selanjutnya, lapor Bernama.
Kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (penggunaan tidak wajar) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1988.
Dalam pada itu, polis menasihatkan orang awam agar tidak menularkan isu yang boleh mengganggu keharmonian dan ketenteraman awam.
Dilaporkan semalam, SJKC Chung Hua Port Dickson memohon maaf secara terbuka susulan insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di sekolah itu Jumaat lepas.
Lembaga Pengelola, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pentadbiran sekolah dalam kenyataan bersama meluahkan rasa kesal terhadap insiden itu yang disifatkan sebagai kecuaian tidak disengajakan.