
Annuar berkata, pembatalan itu dibuat Kementerian Kewangan serta menambah tidak mempunyai maklumat lanjut di sebalik keputusan itu.
Beliau berkata, Kementerian Kewangan mempunyai hak prerogatif untuk membuat keputusan terakhir ke atas tender melebihi jumlah tertentu, termasuk bagi peranti di bawah program Peranti Siswa.
“Jadi, selepas Perbendaharaan meneliti butiran, ada perkara tertentu yang dirasakan perlu dibuat semula.
“Apa-apa pun, saya akan ikut apa sahaja keputusan Perbendaharaan,” katanya.
Annuar berkata, tender baharu telah pun diberikan, baru-baru ini, yang akan dinilai sewajarnya.
Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa ini bermakna pengedaran peranti itu mengalami kelewatan dan berharap proses agihan boleh dilakukan, Jun depan.
Beliau menjangkakan kerajaan mula mengedarkan peranti itu sekitar pertengahan Julai.
“Tetapi, pusingan kedua (penilaian) dibuat secara dalam talian jadi penilaian akan lebih pantas. Justeru, saya harap Kementerian Kewangan mungkin boleh membuat keputusan pada pertengahan Jun.
“Kita mungkin memerlukan antara 30 hingga 45 hari sebelum ia dihantar.”
Ahli Parlimen Ketereh itu, berkata sejumlah besar peranti turut membabitkan lebih 100,000 unit dengan penghantaran bagi pengagihan meliputi lebih 200 universiti di seluruh negara.
“Itu akan mengambil masa. Jadi, saya harap proses tender akan selesai secepat mungkin,” katanya.
Kerajaan memperkenalkan program Peranti Siswa di bawah Bajet 2022. Ia bertujuan menyediakan peranti tablet kepada pelajar yang layak di menuntut di pusat pengajian tinggi atau swasta, termasuk politeknik, kolej komuniti dan kolej swasta.