17 warga emas terperangkap banjir diselamatkan

17 warga emas terperangkap banjir diselamatkan

Banjir di Bidor, Tapah petang semalam menyebabkan penghuni rumah jagaan itu terperangkap sebelum diselamatkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Mangsa banjir Chan Chew Mun, 73, bersama rakan ceria ketika dikunjungi oleh Menteri Besar Perak Saarani Mohamad di pusat pemindahan sementara di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chong Hua 1. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seramai 17 penghuni rumah jagaan warga emas yang terperangkap akibat banjir berjaya diselamatkan oleh sepasukan anggota dan pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam kejadian di Bidor, Tapah, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, mangsa yang terdiri daripada 15 lelaki dan dua wanita yang menghuni rumah setingkat di Jalan Bruseh itu terpaksa duduk di atas meja sebagai perlindungan sementara menunggu bantuan.

Bernama yang memetik jurucakap APM berkata, usaha menyelamat disertai sembilan anggota dan pegawai yang memapah mangsa dan ada yang terpaksa dibawa keluar menggunakan pengusung.

“Lima daripada mereka ditemui sedang duduk di atas meja makan kerana rumah itu dinaiki air hingga paras dada manakala selebihnya berada dalam bilik masing-masing termasuk yang terlantar sakit.

“Kami mengambil masa selama kira-kira 10 minit untuk memujuk semua mangsa dengan bantuan pengerusi rumah jagaan itu kerana pada awalnya ada yang enggan dibawa keluar sehingga kami menerangkan risiko bahaya termasuklah kehadiran ular di kawasan berhampiran seperti kes sebelum ini,” katanya yang ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Choong Hua 1, di sini.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad yang melawat PPS itu malam tadi, berterima kasih kepada pasukan APM dan penyelamat kerana berjaya membawa keluar semua mangsa dengan selamat.

“Selain di sini, kawasan Felda Trolak turut dilanda banjir dan mangsa terlibat dipindahkan ke Dewan Semai Bakti.

“Begitu juga Pekan Trolak dan kawasan Sungkai. Hampir semua kawasan di daerah Batang Padang dilanda banjir dan saya akan cuba tinjau semua kawasan terlibat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.