
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Zaliha Mustafa berkata, undian semula secara fizikal Jumaat ini melibatkan bahagian Tumpat, Ketereh, Bachok, Pengkalan Chepa, Gua Musang dan Tanah Merah di Kelantan.
Beliau berkata, undian pada Sabtu ini pula membabitkan bahagian Dungun, Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman (Terengganu); Padang Serai (Kedah); Hulu Selangor (Selangor) dan Kota Kinabalu (Sabah).
“Bahagian terlibat akan mengadakan pengundian semula selaras dengan notis penangguhan pengundian terdahulu. Pusat-pusat pengundian akan dimaklumkan secepat mungkin,” katanya menerusi notis makluman yang dimuat naik di Facebook rasmi Pemilihan PKR 2022, hari ini.
Sebelum ini, JPP memaklumkan undian semula terpaksa dilakukan di 13 bahagian berkenaan disebabkan beberapa masalah termasuk isu teknikal yang berlaku ketika pengundian fizikal.
Susulan itu, tarikh keputusan tidak rasmi pemilihan peringkat MPP dan bahagian turut dipinda dan akan dipaparkan di laman sesawang Pemilihan PKR 2022 Ahad ini.
Tarikh pencalonan bagi pemilihan 20 ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Majlis Pimpinan Wanita turut dipinda pada Ahad.