
Jeffrey Ng, iaitu penasihat kepada Gabungan Persatuan Peladang Ternakan Malaysia (FLFAM) berkata, menambah BSF dalam dedak ayam adalah satu pilihan yang berdaya maju kerana ia adalah sumber protein yang baik.
“Ia mungkin dapat menggantikan kacang soya, namun tidak boleh menjadi pengganti untuk dedak ayam biasa, sekadar sebagai makanan tambahan,” katanya kepada FMT.
Jelasnya, kandungan tenaga dan protein menjadi dua perkara yang perlu dipertimbangkan dalam dedak ayam. Penggunaan BSF hanya cukup untuk memenuhi keperluan protein, namun bukan keseluruhan keperluan tenaga.
Ng berkata, kajian terhadap pengusahaan BSF perlu dijalankan untuk menetapkan piawaian bagi industri itu, seterusnya memastikan ia selamat dan berkualiti tinggi.
“Dengan tahap piawaian ini, kita boleh melihat pula cara meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi keperluan keseluruhan pasaran,” katanya.
Dr Zulkifli Idrus daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) turut menggesa kerajaan mempertimbangkan BSF sebagai alternatif jangka panjang kepada kacang soya bagi mengurangkan kebergantungan pada bahan import.
Beliau memberitahu Sinar Harian, menternak BSF juga mampu menyelesaikan pengurusan sisa kerana ia makan sisa minyak sawit dan bahan makanan.
Pada Januari, UPM mengumumkan akan mengkaji formulasi dedak menggunakan larva BSF bagi ayam yang diternak dengan cara lepas.
Ng turut bersetuju bahawa pengusahaan BSF mampu memberi kesan positif terhadap ekologi.
“Industri BSF sebenarnya adalah ekonomi kitaran kerana sisa buangan boleh diubah menjadi makanan untuk serangga, manakala sisa buangan larva BSF pula boleh dijadikan baja.
“Ia mampu memanfaatkan keseluruhan masyarakat, bukan sahaja industri penternakan,” katanya.