Lebih RM183 juta harta milik sindiket dadah disita

Lebih RM183 juta harta milik sindiket dadah disita

Sebanyak RM16.8 juta membabitkan aset kenderaan, RM8 juta bangunan, RM4.78 juta dalam akaun bank dan RM4.5 juta aset tanah.

Ayob Khan Mydin Pitchay (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam sidang media di Shah Alam pada 27 Mac lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menyita kira-kira RM183.14 juta harta milik sindiket dadah di seluruh negara sejak Januari 2021 hingga 31 Mac lalu.

Jumlah itu membabitkan RM162.98 juta harta yang disita sepanjang tahun lalu dan RM20.16 juta lagi dari 1 Jan hingga 31 Mac tahun ini. Ia termasuk harta milik pengedar dan raja dadah.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM16.8 juta membabitkan aset kenderaan, RM8 juta bangunan, RM4.78 juta dalam akaun bank dan aset tanah (RM4.5 juta).

“Kita turut menyita wang tunai berjumlah RM1.93 juta, barang kemas (RM893,158), lain-lain harta (RM184,400), saham (RM159,399) dan peralatan elektrik (RM12,400).

“Semua harta tersebut dilucut hak di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 membabitkan RM19.15 juta (2021) dan RM3.73 juta untuk tiga bulan tahun ini,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, JSJN turut merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM1.15 bilion sepanjang tempoh 15 bulan itu.

Sepanjang tahun lalu sahaja, pihaknya merampas 27,865.1kg dan 12,615.98 liter pelbagai jenis dadah, 343,767.13kg daun ketum dan 76,314.71 liter air ketum yang semuanya bernilai RM965.14 juta.

Manakala rampasan untuk tiga bulan pertama tahun ini melibatkan 7,122.19kg dadah, 990.38 liter cecair dadah, 40,348.79kg daun ketum dan 24,313.99 liter air ketum yang semuanya dianggarkan bernilai RM190.003 juta.

Beliau berkata, sebanyak 171,125 tangkapan turut dilakukan membabitkan 143,549 kes dalam tempoh sama.

Daripada jumlah itu katanya, seramai 9,165 orang melibatkan 5,442 kes dipercayai memiliki dan mengedar dadah ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Beliau berkata, kira-kira 69,633 (69,806 kes) penagih dan pengguna turut ditahan mengikut Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 dan Seksyen 3 (1) Akta Penyalahgunaan Dadah 1983.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.