
Ketua Bersatu Bahagian Bagan Serai, Ismail Ali, berkata sebagai akar umbi, pihaknya terbuka menerima penyandang kerusi itu, Dr Noor Azmi Ghazali, atau Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, sekiranya dicalonkan Bersatu pusat.
“Kalau pilihan Bersatu pusat adalah Wan Fayhsal ‘it’s okay’. Kalau penyandang sekarang pun kami tak menolak. Ikut arahan pusat. Kita tak akan bantah sebab kita nak dalam keadaan bersedia dan dalam keadaan yang tidak pecah-belah.
“Tapi biasalah pada peringkat awal ini, (PAS) dakwa kerusi ini mereka punya. Kita pun semasa PRU14 akui kurang jentera tapi sekarang kita dah ada lengkap, banyak cawangan. Kita ada jentera yang dah terlatih pergi kursus banyak dah untuk hadapi PRU,” katanya kepada FMT.
Pada 17 Mei lalu, Ketua PAS Bagan Serai, Abdul Aziz Abdul Majid, mengumumkan mereka tidak akan memberi laluan kepada Wan Fayhsal untuk bertanding di Parlimen berkenaan. Malah, pihaknya menyerahkan kertas cadangan untuk PAS bertanding di situ kepada Presiden, Abdul Hadi Awang.
“Kita tak terima beliau sebagai calon Ahli Parlimen Bagan Serai,” katanya, menurut laporan Sinar Harian.
Ismail memaklumkan timbalan menteri perpaduan negara itu sudah dua tahun turun padang menyantuni rakyat Bagan Serai yang juga kampung halamannya.
“Sama ada PAS setuju atau tak, kita tak boleh nak komen apa-apa sebab bawah payung PN. Siapa sahaja calon bawah PN kita akur. PAS pun tentu akan akur juga bila pusat dah tentukan siapa sahaja calon yang dipersetujui,” katanya.
FMT telah menghubungi Noor Azmi bagi mengulas lanjut perkara ini dan sedang menunggu maklum balas darinya.
Pada PRU14, Noor Azmi yang ketika itu masih Umno menang tipis dengan majoriti 172 undi menewaskan calon PAS dan Bersatu.
Pada 24 Jun 2018, Noor Azmi keluar Umno dan selepas lima bulan menjadi wakil rakyat bebas menyertai Bersatu.