Saya tak sokong keganasan, Kit Siang beritahu Najib mengenai perbandingan dengan Sri Lanka

Saya tak sokong keganasan, Kit Siang beritahu Najib mengenai perbandingan dengan Sri Lanka

Veteran DAP itu menafikan tuduhan Najib Razak mengenai kenyataannya yang membuat perbandingan antara Malaysia dan Sri Lanka selepas negara itu dilanda kekacauan baru-baru ini.

Veteran DAP Lim Kit Siang berkata, bukan niat beliau untuk mencetuskan apa-apa pergolakan.
PETALING JAYA:
Veteran DAP Lim Kit Siang menafikan beliau menyokong keganasan ketika membuat perbandingan antara Malaysia dengan Sri Lanka yang dilanda kekacauan baru-baru ini.

Ini selepas Najib Razak menuduh Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menghasut orang ramai dengan mempersoalkan sama ada Malaysia akan mengalami nasib yang sama seperti Sri Lanka dan bekas perdana menteri itu menggesa polis menahan Lim.

Dalam kenyataannya hari ini, Lim menegaskan beliau hanya memberi amaran bahawa Malaysia harus belajar daripada pengalaman berterusan di negara jiran dan mengelakkan keadaan politik serta sosioekonomi daripada merosot.

Menurutnya, beliau juga telah menukar tajuk kenyataan berkenaan yang pada mulanya bertulis “Adakah rumah perdana menteri dan menteri Malaysia akan dibakar oleh penunjuk perasaan seperti yang berlaku di Sri Lanka minggu lepas?”, selepas dinasihatkan oleh setiausaha politiknya.

“Saya tidak membantah untuk menukar tajuk itu kerana niat saya bukanlah untuk mencetuskan apa-apa pergolakan, sebaliknya hanya untuk memberikan amaran mengenai bahaya apabila suasana politik dan sosioekonomi dibiarkan merosot sehingga menjadi sebuah negara yang gagal seperti yang berlaku di Sri Lanka.

“Saya telah jangka ahli politik yang terdesak dan juga oportunis akan mengambil kesempatan ini untuk memusing dan memutarbelitkan makna dan tujuan asal kenyataan saya sebagai kononnya satu hasutan. Apa yang tidak jangka adalah untuk seorang bekas perdana menteri sendiri berbuat demikian,” katanya.

Semalam Najib berkata, Lim tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan itu, sebalikya menikmati kehidupan sebagai seorang pesara.

Namun Lim memberitahu Ahli Parlimen Pekan itu bahawa dia bersara daripada “persaingan politik”, bukan politik secara keseluruhannya.

Awal bulan ini, kediaman beberapa wakil rakyat daripada parti pemerintah Sri Lanka dibakar oleh penunjuk perasaan anti- kerajaan.

Seorang ahli Parlimen daripada parti pemerintah juga terbunuh dalam protes ganas itu yang memaksa Mahinda Rajapaksa meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.