
Arul Kanda didakwa atas tuduhan bersubahat dengan Najib.
Pendakwa raya ad hoc Gopal Sri Ram memberitahu hakim Zaini Mazlan bahawa pihak pendakwaan telah memfailkan permohonan mengikut Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Seksyen 63 menyatakan apabila dua atau lebih orang didakwa atas suatu kesalahan, mahkamah boleh, atas permohonan secara bertulis oleh pendakwa raya, menghendaki seorang atau lebih daripada mereka memberikan keterangan sebagai saksi pendakwaan.
“Tertuduh ini (Arul Kanda) mempunyai maklumat berkaitan transaksi seorang lagi tertuduh (Najib) yang akan secara material mempengaruhi keputusan kes kami.
“Secara ringkasnya, dia (Arul Kanda) mempunyai maklumat dalam simpanannya yang berkaitan dengan tuduhan tertuduh lain mengenai mesyuarat pada 24 Feb 2016 dan peristiwa sebelum dan selepasnya,” kata Sri Ram.
Najib dibicarakan atas tuduhan salah guna kuasa sebagai perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu untuk mendapatkan kekebalan daripada tindakan undang-undang dan menyebabkan pindaan kepada laporan audit 1MDB muktamad sebelum ia dibentangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
Sri Ram turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa peguam Najib, Shafee Abdullah menyatakan pihak pembelaan akan menentang usaha pihak pendakwaan untuk memanggil Arul Kanda sebagai saksi.
Zaini kemudian berkata, beliau akan mendengar permohonan pendakwaan pada 30 Mei.
Dalam pernyataan pembukaan pendakwaan pada 18 Nov 2019, Sri Ram memberitahu mahkamah bahawa pendakwa raya akan memohon secara bertulis bawah Seksyen 63 untuk memanggil Arul Kanda untuk memberi keterangan bagi pihak pendakwaan.