
Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, Perkeso bertindak demikian atas alasan negara menuju ke fasa peralihan endemik.
Katanya, pengurusan Perkeso sepatutnya mendapatkan maklum balas pekerja sebelum menukar jenis tuntutan, yang dikatakan menyulitkan pekerja, khususnya di peringkat bawahan.
Oleh itu, beliau menggesa campur tangan perdana menteri bagi mengelakkan berlaku ketirisan dana.
“MTUC mencadangkan siasatan dijalankan bagi memberi keyakinan kepada pekerja berhubung penggunaan dana pada masa hadapan.
“Perlu diingat bahawa dana Perkeso adalah sumbangan pekerja dan majikan untuk menjaga kebajikan pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perkeso sebelum ini mengumumkan tuntutan faedah berkaitan kes Covid-19 akan diproses di bawah kategori penyakit khidmat mulai 1 April lalu.
Selain Covid-19 katanya, antara penyakit berjangkit lain yang turut diletakkan di bawah kategori penyakit khidmat ialah jangkitan virus Nipah, tuberkulosis (batuk kering) dan leptospirosis (penyakit kencing tikus).
“Sekiranya Orang Berinsurans (OB) Perkeso ingin membuat tuntutan faedah bagi kes Covid-19, tuntutan itu masih layak dipertimbang, namun terhad kepada pekerjaan yang terdedah kepada agen biologi dan adanya jangkitan dalam kalangan pekerja jagaan kesihatan.
“Permohonan itu akan diproses sebagai penyakit khidmat dan OB yang layak akan menerima faedah di bawah Skim Bencana Pekerjaan atau Skim Keilatan merangkumi faedah hilang upaya sementara, faedah hilang upaya kekal, pencen penakat, pencen ilat dan faedah pengurusan mayat mengikut kelayakan masing-masing,” kata Perkeso.