
Dr Kelvin Yii berkata, kerajaan negeri memiliki “saham penting” dalam Serba Dinamik dan berkemungkinan akan mengalami kerugian besar selepas harga saham syarikat itu menjunam.
Ahli Parlimen Bandar Kuching itu berkata, setiausaha kewangan negeri merupakan pemegang saham kedua terbesar dengan 159.5 juta saham dan 36 juta waran.
Bintulu Development Authority, sebuah syarikat berkaitan kerajaan, merupakan pemegang saham ke-12 terbesar dalam firma itu dengan 21 juta saham dan enam juta waran.
Yii berkata, memandangkan sejumlah besar dana awam terlibat dalam perkara itu, kerajaan Sarawak mesti telus dan “mendedahkan tiga perkara”.
Tiga perkara tersebut ialah butiran dan kuantum kerugian yang dialami oleh perbendaharaan negeri, badan dan syarikat berkaitan kerajaan masing-masing dengan saham dalam Serba Dinamik; langkah proaktif yang diambil oleh kerajaan negeri serta rancangan untuk mendapatkan kembali jumlah kerugian.
“Ini adalah isu yang sangat serius dan bakal mempunyai implikasi jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.
Pada 9 Mei, harga saham Serba Dinamik di Bursa Malaysia menguncup hampir 60% selepas saham itu didagangkan semula.
Dagangan saham syarikat itu digantung sejak 22 Okt 2021 kerana kegagalannya mematuhi arahan Bursa Malaysia.