Had diesel beri kesan pada penduduk luar bandar, kata Adun Sarawak

Had diesel beri kesan pada penduduk luar bandar, kata Adun Sarawak

Adun Telang Usan, Dennis Ngau, kata had 50 liter hanya cukup untuk perjalanan sehala dari Miri ke Long Bedian.

jalan raya rosak
Adun Telang Usan, Dennis Ngau, berkata perjalanan di kawasan luar bandar Sarawak melibatkan jarak yang jauh dan satu-satunya pilihan yang praktikal adalah kenderaan pacuan empat roda. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang Adun Sarawak menggesa kerajaan mempertimbangkan keperluan penduduk luar bandar dan tidak mengamalkan pendekatan ‘satu dasar untuk semua’ dalam menetapkan had pembelian diesel di Malaysia Timur.

Adun Telang Usan, Dennis Ngau, berkata penduduk luar bandar tidak seharusnya menanggung kesan dasar menyeluruh tersebut.

Dennis Ngau
Dennis Ngau.

Beliau berkata perjalanan di kawasan luar bandar Sarawak melibatkan jarak yang jauh dan satu-satunya pilihan yang praktikal adalah kenderaan pacuan empat roda susulan keadaan muka bumi yang mencabar serta kekurangan jalan raya yang baik.

Katanya, dengan had pembelian sebanyak 50 liter bermakna beliau hanya mampu bergerak dari Miri ke Long Bedian, perjalanan sejauh 120km.

“Jumlah itu tidak mencukupi untuk perjalanan pergi dan balik. Tambahan pula, kami di Baram tiada kemudahan perkhidmatan teksi atau Grab, yang pemandunya diberi keutamaan subsidi bahan api,” katanya seperti dipetik Borneo Post.

Baram merupakan kawasan Parlimen kedua terbesar dari segi keluasan, meliputi lebih 22,000 kilometer persegi, besar sedikit daripada Perak.

Ngau berkata walaupun keputusan kerajaan mungkin berdasarkan data dan analisis, ia perlu dilaksanakan secara seimbang dan tidak secara menyeluruh tanpa mengambil kira keadaan setempat.

Jumlah diesel yang boleh dibeli di Sabah dan Sarawak kini dihadkan kepada 50 liter bagi setiap pembelian untuk kenderaan ringan, 100 liter bagi pengangkutan awam dan kenderaan barangan di bawah tiga tan, serta 150 liter bagi kenderaan melebihi tiga tan.

Harga diesel ketika ini ialah RM2.15 seliter di Sabah, Sarawak dan Labuan, berbanding harga di Semenanjung Malaysia iaitu RM6.02 seliter.

Khamis lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, berkata Kementerian Kewangan sedang meneliti cadangan bagi melaksanakan subsidi diesel bersasar di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Armizan berkata mekanisme itu, yang akan mengambil kira keunikan keadaan setempat, akan dibincangkan bersama kerajaan negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.