Pegawai kanan, pesara kerajaan disyaki terima rasuah RM700,000 ditahan

Pegawai kanan, pesara kerajaan disyaki terima rasuah RM700,000 ditahan

Sumber SPRM berkata suapan itu adalah sebagai balasan kepada suspek melindungi aktiviti pemalsuan pengisytiharan cukai jualan minyak sawit mentah.

Kedua-dua suspek ditahan selama 24 jam untuk siasatan lanjut dan permohonan reman dijangka dibuat di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu esok.
KOTA KINABALU:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai kanan sebuah jabatan dan pesara kerajaan kerana dipercayai menerima rasuah berjumlah kira-kira RM700,000 daripada sebuah syarikat kilang sawit.

Sumber SPRM berkata, wang suapan itu adalah sebagai balasan kepada suspek untuk melindungi aktiviti pemalsuan pengisytiharan cukai jualan minyak sawit mentah pada setiap bulan kepada Kementerian Kewangan (MoF) Sabah.

“Tindakan kedua-dua suspek ini menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada kerajaan negeri.

“Mereka berdua (suspek) telah ditahan pada jam 11 pagi tadi ketika hadir di pejabat SPRM Sabah,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan selama 24 jam untuk siasatan lanjut dan permohonan reman dijangka dibuat di Mahkamah Majistret di sini, esok.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan ada lagi beberapa tangkapan susulan dibuat selepas ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.