Lelaki mengaku tak salah culik budak 7 tahun

Lelaki mengaku tak salah culik budak 7 tahun

Muhammad Rahim Ahmad, 26, dituduh menculik murid berusia tujuh tahun berdekatan Sekolah Agama Taman Scientex, Pasir Gudang, 11 Mei lalu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Jun untuk sebutan semula kes. (Gambar Reuters)
JOHOR BAHRU:
Seorang penganggur hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menculik seorang kanak-kanak lelaki di Taman Scientex, Pasir Gudang, Rabu lalu.

Muhammad Rahim Ahmad, 26, dituduh menculik kanak-kanak berusia tujuh tahun itu berdekatan Sekolah Agama Taman Scientex, Pasir Gudang, pada 11.30 pagi, 11 Mei lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Majistret Zulhilmi Ibrahim membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Jun untuk sebutan semula kes.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Media sebelum ini melaporkan, tertuduh cuba menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun di sebuah sekolah agama, dekat Taman Scientex sebelum ditahan orang awam.

Tertuduh ditahan ketika itu didapati positif dadah jenis methamphetamine serta dikehendaki polis.

Kejadian berlaku ketika mangsa berjalan dari sekolah agama tersebut sebelum suspek memperlawanya menaiki motosikal untuk dihantar pulang ke rumah.

Bagaimanapun, perbuatan tertuduh berjaya dirakam hingga tular di media sosial. Dalam video tersebut, seorang lelaki memakai kemeja-T lengan panjang berwarna putih dan berseluar panjang dilihat tergesa-gesa sambil mendukung kanak-kanak tersebut berhampiran sebuah restoran makanan segera.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu berjaya menghalangnya sebelum menahan suspek serta menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.