Kes Da’i Syed: Pendakwaan tunggu arahan lanjut AGC untuk teruskan atau tarik balik kes

Kes Da’i Syed: Pendakwaan tunggu arahan lanjut AGC untuk teruskan atau tarik balik kes

Ini susulan pengadu menarik balik laporan polis berhubung dakwaan jenayah seksual itu, Mahkamah Sesyen dimaklumkan.

Da’i Syed (kanan) ditemani peguamnya di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini.
PETALING JAYA:
Pihak pendakwaan masih menunggu arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) sama ada untuk meneruskan atau menarik balik kes terhadap pendakwah selebriti Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful atas dua tuduhan melibatkan jenayah seksual.

Pihak pendakwaan memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen bahawa pengadu telah menarik balik laporan polis berhubung kes itu.

Pada prosiding hari ini,Timbalan Pendakwa Raya Vitiya Monisha memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu dengan meminta masa sebulan untuk maklum balas kes.

“Hari ini ditetapkan untuk makluman kepada mahkamah mengenai laporan yang telah ditarik balik oleh pengadu, namun arahan lanjut belum diperoleh daripada ibu pejabat (Jabatan Peguam Negara).

“Maka saya mohon satu tarikh lanjut ditetapkan dalam tempoh satu bulan,” katanya.

Perkara ini tidak mendapat bantahan daripada peguam tertuduh, Syed Amirul Syed Edros, namun dengan syarat tempohnya disingkatkan kepada dua minggu.

“Kami tiada bantahan dengan permohonan lanjutan tersebut untuk pihak pendakwaan bagi maklum balas, cuma perlu tarikh singkat, iaitu dua minggu,” katanya.

Hakim Jamaludin Mat kemudian membenarkan permintaan pembelaan dengan menetapkan 31 Mei untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, peguam tertuduh ketika ditemui media di luar mahkamah memaklumkan, walaupun pengadu menarik balik kes, pihak pendakwaan masih mempunyai kuasa untuk meneruskan kes.

“Pihak pendakwaan masih boleh teruskan kes walaupun pengadu menarik kes. Kita sedia untuk dua-dua keadaan sama ada meneruskan kes atau tidak,” katanya.

Pada 10 Dis 2020, Syed Shah Iqmal, atau lebih dikenali sebagai Da’i Syed, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap seorang wanita yang ketika itu berusia 22 tahun di rumah sewa tertuduh di Damansara Perdana antara 3 hingga 4 pagi pada 17 Okt 2020.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Sementara itu, pada tarikh sama di Mahkamah Majistret, dia turut didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama, dengan maksud mencabul kehormatannya pada tarikh dan lokasi sama.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Pada 19 Mac 2021, Mahkamah Majistret membenarkan kes cabul yang dihadapi tertuduh dipindahkan ke Mahkamah Sesyen untuk dibicarakan bersama.

Perbicaraan kes tersebut ditangguhkan oleh Mahkamah Sesyen pada 20 April, selepas pengadu tidak hadir untuk memberi keterangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.