Awal Ashaari mengaku tak salah lakukan khianat

Awal Ashaari mengaku tak salah lakukan khianat

Dia didakwa merosakkan palang pagar di pondok pengawal Challis Damansara kira-kira 11.30 pagi 16 April lalu.

Pelakon dan pengacara televisyen, Awal Ashaari didakwa melakukan perbuatan khianat dan menyebabkan kerugian atau kerosakan.
PETALING JAYA:
Selebriti Awal Ashaari mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan melakukan khianat dalam kejadian di sebuah kawasan perumahan berpagar di Sunway Damansara bulan lalu.

Pelakon dan pengacara televisyen berusia 41 tahun itu membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Awal atau nama sebenar Ahmad Awaluddin Ashaari, didakwa melakukan kesalahan itu dengan merosakkan palang pagar berhampiran pondok pengawal Challis Damansara kira-kira 11.30 pagi 16 April.

Pihak pengurusan didakwa mengalami kerugian RM600 akibat kerosakan itu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan menyebabkan kerugian atau kerosakan. Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamed Wafi Husain, manakala Awal diwakili peguam M Reza Hassan.

Dia dibenarkan diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan mahkamah menetapkan 15 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Dalam catatan di media sosial semalam, Awal mendakwa dia dihalang memasuki kawasan kediaman lamanya kerana “ingkar”.

Dia mendakwa badan pengurusan bersama tidak ada kuasa menghalangnya masuk ke rumahnya tetapi dia tidak menjelaskan secara terperinci apa yang berlaku.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.