
Beliau pernah melakukan misi itu pada 2006 dan 2007. Misi kali ini lebih manis apabila berjaya merealisasikan impiannya bersama seorang lagi pendaki negara, N Elanghovan, di puncak tertinggi dunia itu.
Beliau juga berazam untuk menawan “bumbung dunia” itu tahun depan dengan melakukannya tanpa bantuan oksigen.
Pendaki profesional berusia 57 tahun itu berkata, pada tahun ini, beliau tidak dapat meneruskan misi pendakian tanpa bantuan oksigen kerana diberikan tanggungjawab mengetuai ekspedisi berkumpulan.
“Saya pada mulanya sudah bersedia untuk membawa misi pendakian secara solo tanpa bantuan oksigen untuk menawan puncak Everest kali ini.
“Namun oleh kerana membawa tanggungjawab besar mengetuai ekspedisi berkumpulan, iaitu seorang lagi rakan pendaki negara bersama kali ini, maka saya terpaksa mengambil serius aspek keselamatan dan menggunakan bantuan oksigen untuk ke ‘bumbung dunia’,” katanya menerusi aplikasi Google Meet dari Basecamp Everest.
Ravichandran berjaya sampai ke puncak tersebut pada Khamis lalu, pukul 9.17 pagi waktu tempatan.
Katanya, kehilangan lapan jari akibat radang dingin (frostbite) pada misi pendakian keduanya dahulu nyata tidak menghalangnya untuk terus sampai ke puncak Everest kali ini.
Beliau berkata, faktor cuaca dipilih untuk ke puncak pada 12 Mei lalu juga adalah antara sebab dia berjaya meneruskan misi kali ini.
“Kita dah ambil langkah menuju ke puncak pada 12 Mei, iaitu hari pertama cuaca paling cantik dalam musim ini. Kita mengambil tarikh itu dengan keadaan angin agak kurang dan juga keadaan cuaca yang tidaklah terlalu ekstrem.
“Jadi sasaran kita pada 12 Mei itu adalah sesuatu yang baik dan berjaya mengurangkan risiko terutamanya melibatkan risiko radang dingin,” katanya.