
Ketua Perikatan Nasional (PN) Melaka itu menepis ramalan penganalisis konon peluang gabungan tersebut tawan negeri pada PRN akan datang tipis selepas BN dan PH membentuk kerjasama selain ‘trend’ undi Melayu yang didakwa kembali kepada Umno.
Malah Yadzil berkata, kemenangan BN-PH dalam beberapa siri PRK lalu bukan gambaran sebenar sentimen rakyat kepada kerajaan untuk diterjemah dalam PRN kerana situasi politiknya berbeza.
“Kita tidak boleh nilai hasil gabungan PH-BN ini melalui tiga PRK yang telah berlangsung. Pada semua PRK ini tidak ada satu pun yang memberi kesan kepada perubahan kerajaan negeri. PRK lalu kekal dimenangi parti penyandang kecuali DUN Nenggiri,” katanya kepada FMT.
Pada 16 Okt lalu, Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, kerjasama BN-PH serta ‘trend’ undi Melayu yang didakwa terus kembali kepada Umno, antara dua faktor boleh menghalang hasrat PN menguasai Melaka.
Beliau mengulas keyakinan disuarakan Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin gabungan itu mampu menang besar pada PRN, menggantikan pentadbiran sedia ada selepas penggal pentadbiran kini yang dipegang BN tamat penghujung 2026.
Yadzil yang juga Adun Bemban berkata, sokongan Melayu kepada PN masih kekal dan ia dapat dilihat dalam siri PRK lalu apabila undi diterima gabungan itu menunjukkan peningkatan.
Katanya, PN terus kekal dengan dasar membela nasib rakyat walaupun dalam keadaan terus ‘ditekan’ dengan pelbagai cara seperti peruntukan disekat.
“Kami tetap terus menjaga kebajikan rakyat dan membantu menyelesaikan masalah…terus menyantuni rakyat. Kos sara hidup semakin meningkat adalah isu utama membelenggu rakyat.
“Rakyat dirasakan tertipu dengan janji kosong kerajaan sekarang. Dasar kerajaan yang tidak jelas dan sentiasa ‘flip-flop’ membuatkan rakyat semakin hilang keyakinan,” dakwanya.
Dakwanya, kerajaan sentiasa dikritik dan menjadi topik perbualan segenap lapisan masyarakat di setiap tempat, jelas menunjukkan rakyat tidak gembira dengan sistem pemerintahan Putrajaya ketika ini termasuk di Melaka.
Pada PRN Melaka 2021 BN menang 21 daripada 28 kerusi namun gagal menawan sebarang kerusi pada PRU15.
PH pula menguasai lima DUN dan tiga Parlimen iaitu Alor Gajah, Hang Tuah Jaya serta Kota Melaka, manakala PN menang dua DUN dan tiga Parlimen iatu Jasin, Tangga Batu dan Masjid Tanah.