
Aireroshairi berkata pentadbiran Pahang ketika ini juga mempunyai banyak kelemahan walaupun Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mendakwa prestasi Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail sangat baik.
Beliau turut mempersoalkan kenyataan ‘terbukti nasib rakyat susah terbela’ dibawah pentadbiran PH-BN Pahang kerana mengikut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia 2022, kadar kemiskinan di negeri masih mencecah 4.4% berbanding 3.8% purata nasional.
“…ini bermakna lebih 74,000 rakyat Pahang masih hidup dalam kemiskinan di bawah pentadbiran ‘cemerlang’ ini.
“Soal saya di manakah pembelaan yang didakwa apabila projek perumahan rakyat seperti Rumah Mampu Milik Pahang masih tersekat-sekat dan tertunggak sekian lamanya,” katanya kepada FMT.
Aireroshairi mengulas kenyataan pemimpin PH dan BN Pahang bahawa kerajaan perpaduan di negeri itu sudah terbukti, dengan pelbagai bantuan disalurkan kepada rakyat sekali gus menoktahkan ‘angan-angan’ PN menawan negeri itu pada PRU16.
Aireroshairi turut mempersoalkan dakwaan ‘prestasi terbaik’ Wan Rosdy apabila kedudukan pelaburan negeri merosot ke tangga ke-8 berbanding negeri lain, isu pencemaran di Cameron Highlands yang masih berlarutan, pembalakan tidak terkawal.
“Inilah pentadbiran terbaik yang dimaksudkan?, soalnya.
Beliau yang juga ketua penerangan PAS Pahang juga menolak dakwaan Ketua Pemuda Umno Pekan, Mohd Fakhrul Akhmal Mohamed bahawa PAS ‘semakin kurang menarik’ untuk ditawarkan kepada rakyat Pahang dan sering memainkan sentimen agama untuk mendapatkan sokongan politik.
“Tuduhan ini adalah naratif lapuk yang sering digunakan untuk memburukkan perjuangan Islam. Di manakah sentimen agama apabila kita membangkitkan isu rasuah dan salah guna kuasa?
“Apakah memperjuangkan tadbir urus yang telus dan amanah itu sentimen agama dan bila menuntut pembelaan nasib rakyat miskin dikira sebagai politik agama,” katanya yang menambah Pahang memerlukan perubahan yang membawa kesejahteraan hakiki, bukan sekadar propaganda politik.
Sebelum ini, Harakahdaily melaporkan PN Pahang yakin rakyat akan memberikan kemenangan kepada gabungan itu menerajui negeri pada PRU16.
Ia sekali gus menjadikan Pahang negeri kelima atau ‘state government 5’ (SG5) bawah pemerintahan PN selepas Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.