KASA selaras kerja pembaikan di Janda Baik susulan banjir kilat

KASA selaras kerja pembaikan di Janda Baik susulan banjir kilat

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Mansor Othman berkata kementeriannya sedang mengenal pasti punca berlakunya banjir di kawasan itu.

Dalam kejadian 11 Mei lalu, 140 rumah melibatkan 450 mangsa di Janda Baik dikejutkan dengan kejadian kepala air yang memasuki rumah dan menghanyutkan harta-benda.
NIBONG TEBAL:
Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sedang menyelaraskan kerja-kerja pembaikan di sekitar kawasan terjejas susulan banjir kilat di Janda Baik, Bentong, Pahang baru-baru ini.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Mansor Othman berkata, pihaknya juga sedang mengenal pasti punca berlakunya banjir di kawasan tersebut dan akan mengambil tindakan pembaikan jangka pendek serta panjang bagi mengatasinya.

“Ketua Setiausaha (KSU) KASA Zaini Ujang telah turun padang (Janda Baik) bagi mengetuai usaha meninjau kedudukan dan menyelaras kerja-kerja pembaikan serta penambahbaikan di sana. Kami juga sedang kenal pasti punca berlakunya banjir dan akan mengambil tindakan segera.

“Ia sedang dilakukan oleh KSU kita bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang dan agensi-agensi penguatkuasaan lain di peringkat negeri. Saya percaya tindakan pantas ini akan dapat tangani isu tersebut dengan sebaik mungkin,” katanya kepada pemberita selepas majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Nibong Tebal di Dewan Serbaguna Jawi, semalam.

Media pada Sabtu melaporkan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menitahkan agar kerajaan negeri bekerjasama dengan KASA bagi menyegerakan pelaksanaan kerja-kerja membersih dan mendalamkan sungai yang menjadi punca banjir kilat di sekitar Janda Baik, Bentong baru-baru ini.

Baginda turut menitahkan agar disegerakan pelaksanaan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Bentong serta Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) di Bentong termasuk pembinaan stesen telemetri dan stesen amaran banjir di huluan kawasan Janda Baik.

Dalam kejadian 3 pagi itu, sebanyak 140 rumah melibatkan 450 mangsa di Janda Baik dikejutkan dengan kejadian kepala air yang memasuki rumah dan menghanyutkan harta-benda termasuk kereta ke dalam sungai.

Sementara itu, Mansor yang juga ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, KASA melalui Jabatan Meteorologi Malaysia sedang memantau keadaan cuaca di seluruh negara dan akan mengeluarkan amaran serta nasihat secara berkala dalam menghadapi perubahan cuaca drastik ketika ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.