
Gesaan itu dibuat susulan masalah air masih menghantui penduduk di pantai Timur itu sehingga menjejaskan pengguna di seluruh negeri itu.
Noor Hariri berkata, kerajaan PAS Kelantan disaran melakukan penstrukturan semula ahli lembaga pengarah AKSB terlebih dahulu bagi menyelesaikan masalah yang berlarutan sejak sekian lama.
“Kerajaan negeri perlu membuat penstrukturan semula ahli lembaga pengarah dan meletakkan wakil profesional yang boleh memberi pandangan sisi lain, serta wakil kerajaan pusat untuk semak dan imbang kepada keputusan penting,” katanya kepada FMT.
Sementara itu, mengulas kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah yang mendakwa negeri itu tiada tempat simpanan air yang sesuai, Hariri berkata, alasan tersebut ibarat mahu melepaskan batuk ditangga dalam menyelesai isu pokok.
“Selaku pemegang kuasa dalam kerajaan negeri, tentunya boleh selesaikan perkara ini (masalah air). Nak atau tidak sahaja. Takkanlah kita sebagai kerajaan nak berpeluk tubuh melihat bagaimana rakyat sehari-hari menghadapi masalah air kotor tanpa ada penyelesaian,” katanya.
Katanya, isu air di Kelantan boleh diselesaikan dengan mudah, jika kerajaan negeri tidak terlalu bermain politik dengan menerima sahaja perancangan dibuat kerajaan pusat sebelum ini.
“Tetapi apa yang berlaku, kerajaan negeri berkeras untuk menyelesaikannya sendiri dengan memberi hak kepada syarikat swasta. Hasilnya, air bersih tiada, syarikat lesap, rakyat juga menderita.
“Kerajaan negeri perlu berlapang dada menerima teguran dan cadangan tanpa prejudis. Masalah yang berlaku sekarang, cadangan dan teguran daripada rakyat, terus dicop dan dianggap sebagai motif politik. Padahal ia suara hati rakyat Kelantan (pemilik akaun air) yang terkesan,” katanya.
Mohd Amar sebelum ini dipetik sebagai berkata, sumber air bawah tanah dan atas permukaan bumi terlalu banyak di Kelantan sehingga melebihi keperluan sedia ada namun ketiadaan tempat simpanan air yang sesuai sehinggakan sumber air yang ada tidak dapat dimanfaatkan sebaiknya.
“Air bawah tanah kita banyak, lebih daripada keperluan, tapi tak cukup loji. Bila buat loji paip pula pecah, jadi kita guna air bawah tanah lebih senang daripada guna air sungai.
“Masalah air sungai ini berkeladak,” katanya ketika memberitahu cadangan projek pembinaan kolam takungan terbesar di Kelantan itu telah mendapat kelulusan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) baru-baru ini.
Kolam takungan itu telah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan cadangannya dikemukakan dua tahun lalu.
Sementara itu, Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan, projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) bernilai RM1.3 bilion di Machang itu bakal menyelesaikan masalah air di Kelantan.
Katanya projek ini melibatkan tiga komponen iaitu TAPS, Loji Rawatan Air (LRA) dan juga pemasangan paip di kawasan tanah telah digazetkan seluas kira-kira 404.6 hektar.