Rina ziarah wanita sakit, janji bantuan tambahan RM500 sebulan

Rina ziarah wanita sakit, janji bantuan tambahan RM500 sebulan

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun berharap bantuan tambahan itu dapat membantu meringankan beban V Thenmoli sekeluarga.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun menziarahi V Thenmoli di rumahnya di Sepang hari ini.
SEPANG:
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menyediakan bantuan tambahan RM500 sebulan kepada V Thenmoli bagi meringankan beban kewangannya, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun.

Beliau berharap wang tunai tambahan berkenaan dapat membantu ibu kepada dua anak itu yang mengalami masalah darah beku sehingga menjejaskan pernafasannya.

Thenmoli sebelum ini menerima bantuan berjumlah RM350 daripada JKM.

“Kami lega isu ini dibawa kepada perhatian kami,” kata Rina ketika ditemui di rumah Thenmoli.

“Thenmoli dan anak-anaknya akan dapat menggunakan wang tambahan itu untuk keperluan harian mereka.”

Bagaimanapun kata Rina, bantuan kewangan sahaja tidak cukup untuk membantu keluarga itu.

“Pendekatan lebih holistik dan mampan diperlukan. Kami bercadang untuk bercakap dengan guru anak-anaknya untuk mengukur keperluan mereka agar dapat mencapai prestasi baik dalam pelajaran,” katanya.

“Bantuan kami untuk keluarga ini tidak terhenti di sini.”

Selain bantuan wang tunai, kementerian menerusi Yayasan Kebajikan Negara turut menyumbangkan makanan, kipas berdiri dan set kerusi meja untuk anak-anaknya belajar.

Pada 10 Mei, FMT melaporkan penderitaan keluarga Thenmoli yang menyaksikan dua anaknya berusia lima dan tujuh tahun terpaksa mengerah kudrat menjaga ibu mereka yang sakit.

Hasil sifat murah hati orang ramai, sejumlah RM23,000 berjaya dikumpul setakat 11 Mei. Sebahagian daripada wang itu digunakan untuk melunaskan sewa rumahnya selama setahun, bil utiliti dan bekalan tangki oksigen selama sebulan.

Rina turut memaklumkan bahawa kementerian sedang mengkaji untuk menggubal rang undang-undang bagi mengiktiraf tugas yang dilakukan oleh pegawai JKM dan pihak lain dalam bidang kerja sosial.

“Kita ingin meningkatkan bantuan yang disediakan kepada golongan memerlukan, bukan hanya penyelesaian kewangan sekali beri. Ini sebabnya mengapa rang undang-undang ini penting dan perlu,” katanya.

Rang undang-undang itu kini sedang dirangka dan dijangka siap menjelang tahun depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.